Thursday, June 30, 2011

Atas Nama Pelajaran

Thursday, June 30, 2011
"Nama saya Denias. Mama saya suruh saya sekolah. Karena dia bilang gunung takut pada anak sekolah."

Dia kanak-kanak Indonesia di tanah Papua. Udara yang dihirupnya memiliki kisah-kisah yang jauh dari rutin hidup kanak-kanak di daerah lain. Dia anak lelaki kematian ibu yang hangus terbakar di rumahnya sendiri. Darahnya mengalir dalam pegangan utuh masyarakat Papua yang berpegang pada adat. Ayahnya dipotong jari selepas kematian ibunya; rentetan mengikut adat berkabung yang setiap satu kematian satu jari dipotong, selain dimandikan lumpur berasaskan budaya pulau paling timur di Indonesia.

Dia anak yang sangat mahukan ilmu. Dia salah seorang yang tenggelam dalam kenyataan yang pendidikan masih sangat mahal dan sukar dikejar. Denias anak suku pedalaman Papua yang belajar dengan sesiapa yang sudi mengajarnya, guru malah tentera yang akhirnya terpaksa meninggalkannya. Dia membuat keputusan meninggalkan kampung halaman, berjalan seorang diri merentas tasik dan gunung-ganang demi pelajaran.

Denias, Senandung di Atas Awan. Cerita benar. Munculnya di layar perak tahun 2006 dan meraih banyak anugerah. Cerita yang penuh inspirasi hidup; memberi dan menyebar sesuatu yang baru.

Hidup bukan atas nama hiburan semata-mata. Hidup, berterusan untuk belajar.

Thursday, June 9, 2011

Ceritalah Wahai Pencerita.

Thursday, June 9, 2011

Ada cerita yang tidak perlu digah, dibesar-besarkan. Ada cerita yang tidak perlu ditiru-tiru idea dan gaya pendekatan orang lain untuk diceritakan. Ada cerita yang melekatkan kita untuk terus menghayatinya seperti wayang gambar, tanpa penulisnya menggesa dan memaksa-maksa. Ada cerita impian anak kecil yang pecah berderai berselerakan. Ada cerita besar orang besar. Ada cerita kecil orang kecil. Dan ada juga cerita kita sendiri. Cerita yang dekat dengan kita. Dekat dengan hati. Di sekeliling kita.

Cerita yang kecil apabila diluahkan dengan semulajadi akan dibaca, ditonton dan dihayati menjadi besar. Meninggalkan kesan untuk hidup dan mati. Dunia untuk akhirat nantinya.

Kitaran hidup yang berulang setiap hari, dipandang orang sekelilingnya kecil dan rutin; diangkat menjadi subjek dan meraih perhatian ramai. Seperti ada novelis selepas menulis hanya satu atau dua buah novel, akhirnya mendapat surat dari serata dunia mahu menyumbang yang termampu kepada mangsa yang ceritanya dibawa di dalam novel. Dia menyumbang tulisan yang akhirnya mendorong orang lain turut menyumbang.

Seperti juga cerita-cerita inspirasi tetralogi Laskar Pelangi (Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor, Maryamah Karpov) yang membawa kita mengenal Pulau Belitong. Diterjemah dalam Bahasa Inggeris, Jerman, Vietnam dan bahasa-bahasa lain dan sehingga Andrea Hirata meluahkan pula bahasa hatinya dalam dwilogi Padang Bulan & Cinta Di Dalam Gelas. Enong yang amat meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris, mendadak terpaksa berhenti sekolah. Cerita yang motivasinya tidak datang secara bosan dan terus, tetapi ditusuk melalui kisah yang berseni. Walau kadang-kadang ada juga yang saya kira sedikit berlebih.

Seperti juga filem bajet rendah, Slumdog Millionaire yang akhirnya menang anugerah berprestij Hollywood. Filem ini menyapu bersih beberapa kategori Oscar. Saya suka jalan ceritanya. Saya suka filem ini. Diadaptasi daripada novel penulis India. Di kala orang lain meluaskan titik tumpu kepada dunia Bollywood yang indah-indah tak tercapai realiti, yang cintanya sampai ke mati, cerita ini menukarkan dunia warna-warni Bollywood kepada kehidupan teraniaya rakyat yang terpinggir. Ada yang kata pelakon kanak-kanaknya adalah kanak-kanak Islam sebenar yang hidup terhimpit di Mumbai.

Selebihnya anda boleh baca kata-kata S.M Zakir dalam Slumdog Millionaire dan Impian Dunia Pinggir; di sini.

Pernah dulu saya disarankan menonton filem-filem Moustapha Akkad.

The Message. Lion Of The Desert. Cerita bermakna berkaitan Rasulullah dan para sahabat yang difilemkan dengan berjaya. Sejarah Islam dilayarkannya dengan meninggalkan impak yang berkesan. Sirah yang perlu disampaikan kepada segenap hati, segenap manusia seluruhnya. Salah satu antara cara penyebaran dakwah Islam.

Juga cerita perang Taegukgi (Brotherhood). Latarnya ialah dunia perang yang membawa kita balik semula kepada sejarah lama, tetapi yang lebih menyayukan saya ialah ikatan antara abang dan adik. Sangat menyentuh.

Teringat juga cerpen Fatimah Busu, Nasinya Tumpah yang pernah saya baca. Cerita rakyat yang di pinggir kampung, jadi besar dalam karya yang ditulisnya dengan hati.

Semuanya dikisahkan dengan matlamat yang mahu diketengahkan, dengan cara yang tersendiri. Jalan cerita memberi impak banyak. Sama ada orang mahu terus, atau berhenti di tengah jalan kerana bosan dan matlamatnya tidak akan berjaya disasarkan.

Jalan cerita. Matlamat sasaran. Sama penting. Ini kata hati saya sebagai pembaca.

Tetapi, walau terlalu banyak cerita di sekeliling kita, tidak semua cerita perlu kita ceritakan.


* Tidak akan menulis untuk satu tempoh tertentu..Salam.


Wednesday, June 8, 2011

Ke Situ!

Wednesday, June 8, 2011

Saya beli buku itu hampir 7 tahun yang lalu. Di kedai buku Mahasiswa USM. Saya belek-belek tarikh yang pernah saya tulis; 17 Januari 2005. Merintis Jalan ke Antartika. Catatan perjalanan seorang tokoh gigih yang tinggi tekadnya; mahu menggapai impian ke Antartika. Meneruskan perjalanan melebar ilmu Biologi di benua yang terpencil. Paling tandus. Paling sejuk. Tidak berpenghuni.

Ini bukan kisah rekaan. Bukan imaginasi dan omongan angan-angan. Ini kisah benar cerita kembara menjelajah ilmu oleh Profesor Dr. Mashhor Mansor. Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, tempat saya belajar dulu.

Satu catatan peribadi dengan terma saintifik yang minor tetapi sarat ilmu. Ada cerita pertemuannya dengan saintis-saintis Jerman, Australia, New Zealand dan Argentina. Juga kisah impian yang terhalang; teman seperjalanan Profesor yang menemui maut dalam perjalanan, dengan cita-cita menggunung tinggi mahu meluaskan ilmu yang diperoleh di Antartika. Justeru; Profesor Dr. Mashhor dan saintis lain mengorak jalan ke benua tandus itu dengan turut membawa semangat Omar Pozan, saintis yang jalannya terhenti di pertengahan jalan.

Itu mungkin antara kisah yang berjaya diraih orang yang semangatnya ke depan. Sayapnya dikuak dan dilayang tinggi-tinggi. Bukanlah jalan senang untuk sampai ke tahap itu. Ilmu yang dianugerahi Allah itu luas; digapainya dengan pengorbanan yang bukan calang-calang. Dengan jalan yang dipilihnya sendiri. Dengan impiannya sendiri. Dengan dipermudahkan Allah, tentunya.

Semalam; ditayangkan semula Children Of Heaven, saluran Al-Hijrah. Sudah banyak kali saya menonton filem ini. Di zaman universiti dulu-dulu. Kisah yang diarahkan Majid-Majidi, pengarah filem Iran tersohor. Satu lagi filemnya yang paling saya ingat; Colour Of Paradise. Tetapi filem itu kurang diperluaskan berbanding Children Of Heaven. Bagi saya, ia setanding dan baik kualitinya; sama dengan Children Of Heaven. Kisah anak buta yang menjentik sebak dengan pendedahan dan cara yang agak berbeza. Agak terkilan; saya tidak berpeluang untuk menghayati The White Balloon; juga satu kisah seputar Iran.

Sebagaimana baik kisah-kisah Iran yang ditonjolkan, tidak ada pelakon-pelakon wanitanya mendedah aurat. Tetapi filem-filemnya melayakkannya mendapat pelbagai anugerah; dengan caranya yang asli dan polos. Mungkin itu juga yang diketengahkan filem Ketika Cinta bertasbih; pelakonnya dicari menerusi uji bakat supaya menjiwai nilai-nilai indah Islam berdasarkan novelnya yang asli.

Antara kisah-kisah lain; tulisan Khaled Hosseini juga amat berjaya menyentuh lubuk hati saya; seperti mana Paulo Coelho. Khaled tidak menulis banyak. Hanya dua buah novel. The Kite Runner. A Thousand Splendid Suns. Tetapi novel pertama yang dibuahkannya saja sudah mampu menggegar pembaca-pembaca yang membaca sehingga diterjemah dalam pelbagai bahasa dan dibaca di serata dunia. Tulisannya bukan seperti dibuat-buat, sepertinya tidak meniru-niru, asli, ceritanya mengalir dengan cara yang sangat memikat pembaca. Sungguh saya boleh katakan doktor perubatan ini sangat berbakat. Cuma bila The Kite Runner difilemkan, saya tidak nampak ia boleh menandingi novelnya. Mungkin jauh untuk sampai ke hati saya.

Juga A Thousand Splendid Suns yang punyai cerita Mariam; yang memaparkan gelombang hidup yang mencengkam; yang satu keputusan telah merubah keseluruhan hidup Mariam. Yang Mariam, wanita Afghan berselubung burqa akhirnya menderita dengan pengharapan berjejeran diragut dengan hanya satu keputusan. Sangat parah. Really a must read!

Mungkin juga cerita-cerita Taliban itu agak berlebih. Mungkin juga. Khaled Hosseini, seorang rakyat Afghanistan yang melihat sendiri tanahnya bergolak, yang kemudiannya berhijrah ke Amerika dan mendapat penghidupan baru, bagaimanakah pandangannya berdasarkan pengalamannya? Tetapi di sudut lain, tulisannya amat berbisa.

Sesekali, perlu juga kita membuka mata dan menjarah kehidupan yang kontradik dengan rutin kita. Masih terkenang di hati saya pengalaman yang mungkin tidak mahal, ceritanya tidak besar untuk anda, tetapi dalam di hati saya. Cerita saya. Pengalaman saya. Anda boleh baca di sini. Juga di sini . Lama dulu.

Cerita dulu dengan kisah sekarang kadang-kadang berkait. Sebagaimana kisah Antartika dan Australia yang satu ketika dulu pernah bercantum. Terikat.


*Padang Bulan dan Cinta Di Dalam Gelas tulisan Andrea Hirata sudah saya tempah. Mahu cari The Girls Of Riyadh dan Three Cups Of Tea bila tidak sibuk. Sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Selamat berbudi rakan-rakan guru!


Wednesday, June 1, 2011

Peluk Mimpi-mimpi Itu!

Wednesday, June 1, 2011

Saya terjumpa ini.

“Jangan menjadikan penulis barat sebagai contoh dalam penulisan kita.”

Seorang yang menulis; yang banyak pula menyebarkan tulisannya, utuh berpendapat dengan pendirian seperti ini.

Ini pandangan hati saya; benar banyak penyelewangan dibuat mereka. Benar; membusung tinggi cerita-cerita yang merobek akidah. Tapi jangan sempitkan pandang dan langkahmu wahai pejuang. Jangan pendekkan langkah orang yang percaya kamu membawa mereka dekat denganNya. Jangan sempitkan pengalaman dan semangat orang lain mencari ilmu.

Betul, kita orang Islam perlu menyebarkan ajaran Islam, menghalang sebaran yang boleh membengkokkan keimanan kita, tapi daripada mereka tetap ada yang boleh kita cari. Di samping itu kita berusaha makin kuat mengetengahkan tulisan-tulisan orang-orang kita yang bermutu.

Bukalah akalmu; kita tidak akan menjumpai yang bermanfaat kalau tidak mencari. Jangan menutup jalan untuk akal kita berfikir dan dikikir. Masih ada buku-buku daripada penulis Barat itu tidak lucah. Tidak semua buku-bukunya yang hanya tergedik-gedik mempersembahkan keseronokan. Ada buku yang menghadiahkan pengetahuan yang perlu kita raih. Memang, terlalu banyak yang sia-sia, pun usahalah cari yang berguna. Yang disarankan orang-orang yang pernah membaca.

Kita tersekat di tengah jalan; kerana kita sebenarnya menyempitkan jalan.

Ibarat Lintang anak terpintar, yang putus jalannya apabila harus tamat sekolah. Setiap hari gigih berbasikal berpuluh kilometer dari rumah, walau kadang-kadang hanya sempat menyanyi lagu Padamu Negeri di akhir waktu sekolah. Mengayuh di awal pagi, sampai di lewat senja. Celik akalnya melebihi yang lain. Rajin membaca, sangat gigih berusaha, genius kepalanya. Lintang akhirnya kecundang memeluk mimpi selepas ayahnya mati di laut. Buncah. Dia meneruskan hidup di pondok buruk dan terpisah dari anak-anak juang Laskar Pelangi. Dan akhirnya kita terpaksa menerima yang anak genius ini menemui antiklimaks dalam mengejar impian, dan anak-anak biasa di awal cerita Laskar Pelangi pula menempa kejayaan.

Itu cerita mimpi-mimpi Lintang. Sayang. Jalannya tersekat. Tidak seperti Ikal dan Arai yang mengusung impian sampai ke Perancis dan Afrika.

Pun; jangan kita pula yang merosakkan jalan orang memeluk mimpi. Jangan sampai kerana tindak-tanduk kita, ilmu yang perlu disebar terhalang. Kerana pengaruh kita; yang mengikut tidak tercapai matlamatnya. Jangan kerana pandangan kita; cara hidup orang-orang di luar sana tidak dapat kita susuri dan dikekang jalan untuk mendekatkan mereka ke jalanNya. Hanya kerana pemikiran kita dan degilnya hati menerima pandangan dek kerana sibuk membetulkan segala pandangan sendiri. Ruginya kita. Ruginya orang-orang di sekeliling kita. Ruginya orang-orang selepas kita.

Dunia terhampar luas untuk ditarah mencari bekal di SANA. Perkembangan masyarakat Islam dalam pelbagai lapangan hidup memerlukan pengetahuan yang luas. Dibuktikan ketika zaman tokoh-tokoh Islam terdahulu sebagaimana gigihnya mereka menterjemah karya-karya ilmu. Melalui zaman kegemilangan pada awalnya dan menempuh zaman kemerosotan di masa Eropah menyerang negara-negara Islam.

Maka, pilihlah buku yang bermanfaat. Baca buku yang bermanfaat. Tontoni filem menarik dan berisi. Kita terkekang kerana kita tidak membaca dan meluaskan tulisan-tulisan orang lain, yang menyarankan sumber yang bermutu. Kita terhalang kerana hanya sibuk menyebarluaskan apa yang kita tahu dan hayati di ruang lingkup kelompok kita sendiri. Kita tersekat. Kita terduduk di masa kita rasa kita pantas berlari. Kita terhenyak dan hanya melumat kata-kata sendiri. Meminggir pendapat yang lain; kekadang membalut dengan kata-kata hanya sekadar mahu menguji, itu cara tipikal menyelamatkan diri; jangan menipu diri sendiri wahai pejuang!

Berbalah pendapat itu bagus. Berpegang pada pendapat itu juga bagus. Tetapi menepisnya dengan salah cara; besar akibatnya. Asalnya; daripada kepongahan kita sendiri yang tidak mahu muhasabah diri.

Anda boleh susuri filem yang memberi sesuatu contohnya seperti saranan Ustaz Hasrizal di entry ini. Anda juga boleh membaca buku seperti ini.

Hayati kata-kata Ustaz Amiza Khusyri Yusof;

Benarlah bahawa teguran demi teguran yang kita terima adalah hasil daripada kesilapan dan kesalahan diri sendiri yang kita tidak sedar, tetapi orang lain menyedarinya. Atau mungkin kita pura-pura tidak sedar dek diri yang diselubung nafsu dan jauh dari fungsi akal. Saya tertarik dengan kata-kata pemikir Barat, Ralph Waldo Emerson - most of the shadows of this life are caused by our standing in our own sunshine. Dan kita hanya nampak bayang-bayang, jarang benar kita melihat diri sendiri. Kita yang berdiri, tapi yang kita nampak hanya bayang-bayang.


Selamat menyelongkar wahai para pejuang!


“Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi, dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah….”
(QS. Shaad, 38: 27)


*Kita: Bukan hanya kamu, ia juga untuk semua, termasuk saya.


-Bila boleh baca Padang Bulan?


 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket