skip to main |
skip to sidebar
Friday, December 9, 2011
Saya menyukai novel Bumi Cinta melebihi Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Mungkin kerana novel ini dipalut sejarah Rusia di zaman Lenin. Mungkin juga kerana Kang Abik menyelitkan kerakusan Stalin memerintah, maka kita dipandu memahami susur galur perjalanan Rusia di tahun-tahun dulu. Ada juga peristiwa kejam penyembelihan jasad di Sabra dan Shatilla. Sejarah lama yang berdarah, yang diangkat untuk paparan dan ingatan, malah pengajaran kepada yang sudah melupakannya.
Novel ini mengisahkan tirai hidup pelbagai latar belakang; ada perjalanan hidup yang mengakui dirinya Yahudi totok. Ada wanita atheis yang pernah menganut pelbagai agama, juga kisah wanita Kristian yang sangat berketrampilan dan terpelajar. Dan pengaruh terbesar di dalam novel ini; perjalanan Ayyas, muslim Indonesia yang gigih menggali sejarah bertapaknya Islam di tanah yang hebat jenayah dengan cabaran sosialnya paling besar. Anak muda yang mengharung dugaan yang bukan kecil dari persekitarannya, bahkan hampir-hampir menjatuhkannya.
Kisah yang disalut dengan cukup menarik, tentang perdebatan dan keyakinan teguh soal agama yang dianut. Latar seputar Rusia yang diolah dengan sangat lengkap. Segala yang diceritakan ditulis sehingga kita sendiri boleh membayangkan keadaan dan suasana dengan sangat terperinci. Itu menariknya novel ini mungkin. Bukan sekadar cerita yang dihebah-hebahkan hebat dengan layar cinta di ruang pengap.
Cuma; dialog di dalam perbualan antara Ayyas dengan wanita-wanita secara santai, juga pengolahan Ayyas di dalam forumnya dengan ilmuwan-ilmuwan Russia, bagi saya terlalu panjang dan meleret-leret. Huraian berjela-jela di beberapa mukasurat tanpa ada selingan dialog daripada orang lain mungkin membantutkan keghairahan untuk terus membaca. Rupanya bukan saya sahaja yang berpandangan seperti itu, malah pembaca lain yang membaca sependapat dan menulisnya di dalam blog yang dialog itu perlu diperhalusi supaya lebih realistik.
Membaca Bumi Cinta seperti membawa saya kembali menelusuri kisah Maria di dalam novel. Novel Maria yang ditulis oleh penulis Turki. Emine Senlikoglu, penulis terkenal dengan hasilnya yang berani dalam Weil China. Saya menyusuri perjalanan hidup Maria di dalam novel yang dipinjam daripada seorang kawan seuniversiti dulu. Maria mungkin novel yang sudah lama dibaca tetapi intinya sarat dengan perdebatan fahaman agama. Mungkin Bumi Cinta juga terisi dengan perkara sedemikian dengan bukan kisah cinta sahaja yang menjadi plot utama.
Untuk mengenali hasil fikiran Emine Senlikoglu, anda bacalah Weil China.
Itu hanya saranan. Hak anda untuk menentukan apa yang anda baca. Selagi tidak melepasi sempadan yang sepatutnya dan ditegah agama, anda ada hak untuk membaca. Membaca sesuatu yang terpilih. ‘Terpilih’. Anda yang tentukan sendiri.
Saya suka menyusuri tulisan-tulisan yang kaya kosa kata, diselitkan dalam perjalanan cerita yang berisi untuk tatapan. Itu pilihan saya. Membaca novel Inggeris rajin pula kita mencari kamus untuk menggeledah makna, tetapi tidak berusaha pula untuk menambahkan pengetahuan dan memperkayakan perbendaharaan kata bahasa sendiri. Tidak mahu melebarkan betapa bahasa kita punyai kata yang kaya dan luas bahkan menyekat kemajuan diri dalam bahasa sendiri. Sudahlah itu, menyekat pula kemaraan orang lain dalam berbahasa. Betapa ruginya kita.
Moga kita dijauhkan daripada menjadi seorang yang mahu menyebar ilmu, tetapi dalam masa yang sama menyekat peluasan bahasa sendiri yang layaknya untuk diteroka.
Friday, December 2, 2011
Saya kagum dengan orang-orang bermotivasi mengajak orang berbuat baik. Saya malah bertambah kagum melihat orang yang berbuat baik dan tanpa sedar orang lain berubah menjadi baik kerana kelakuannya. Saya malah bertambah-tambah kagum dengan orang yang bertanggungjawab dengan setiap kata-katanya dalam menguras tenaga melakukan yang baik-baik. Saya sendiri bukanlah tergolong di kalangan orang-orang yang banyak berbuat baik, walau punyai keinginan dan berusaha untuk itu. Yang saya ini, selalunya kalah kepada gerah yang menimpa dalam perjalanan, yang mungkin telah banyak kali menyakitkan dan menyusahkan. Yang telah berkaki-kali melakukan dosa, apatah tidak layak untuk meluahkan rasa terhadap orang yang kebaikannya menggunung tinggi.
Cuma satu yang pasti, saya telah belajar selama bertahun-tahun lamanya hidup; jangan cakap melangit dan terlalu mengagung-agungkan diri sendiri. Wahai pejuang yang berkomitmen tinggi, mengatakan orang lain menyakiti diri kita dan diri sendiri tidak pernah menyakitkan orang, sebenarnya dalam tak sedar, kita punyai penyakit memahami diri. Menyakiti orang dan tidak sedar, itu kesilapan yang boleh diperbaiki. Tetapi menyakiti orang tanpa sedar dan tidak mahu mencari kesalahan diri, itu silap besar.
Penyakit hati bukan sahaja yang berhasad dengki, tetapi yang berasa diri besar dan suci melebihi yang lain. Kita mewar-warkan menyuruh melakukan kebaikan, tetapi saat kita perlu untuk melakukan kemaafan yang sangat dituntut, kita tidak rela dan tidak memberikan yang sepatutnya. Semak semula hati. Kita bukan manusia sempurna yang tidak ada cacat cela, bila ditegur dan dikritik perlu kita perhatikan bayang-bayang sendiri. Jangan mengkeji yang mengkritik, jangan menipu diri sendiri dengan menuding jari . Mengatakan orang lain akan rebah tertunduk dan kita sudahnya yang akan menongkat langit, itu sudah mengangkat diri namanya. Atau sedikit dalam bahasa kasar; berasa besar diri. Berasa mahu melihat orang lain musnah secara kita tidak sedar. Kita sendiri tidak tahu apa sudahnya kita nanti. Di saat kita mencanang-canangkan yang kita mendoakan orang lain bahagia, kita sebenarnya tersepit di dalam perasaan dendam dan ego di samping di hati kita, tertanam niat murni yang sungguh-sungguh mahu melakukan kebaikan.
Manusia yang layak dihormati, manusia yang merendah diri walau orang lain meninggikannya. Manusia yang layak dihormati membuat apa yang Islam gariskan, termasuklah tidak angkuh dan jauh untuk berasa diri lebih tinggi dan mulia dari orang lain. Manusia yang layak dihormati, tidak mengulang-ulang yang dirinya dianiaya kerana kesalahan orang lain dan mendoakan orang itu beroleh kesusahan di hari kemudian. Manusia yang layak dihormati, mendengar kritikan dan teguran dari sekeliling, waima dari orang kita berasakan tidak patut. Mendengar tidak semestinya mengikut melongo. Menolak tidak semestinya dengan cara kurang bahasa. Jangan memperlekeh jasa orang terdahulu, meskipun kita orang bertenaga yang mempunyai semangat muda. Tidaklah mengatakan orang-orang tua itu semuanya betul, tetapi pengalaman mereka yang telah dikutip selama kita masih lagi anak-anak sangat besar untuk diperkecilkan. Di kala kita berasakan orang-orang tua tidak punyai apa-apa kecuali mangsa terjahan amarah kita, orang lain sibuk menghargai meranduk beribu-ribu pengalaman yang belum pernah pun kita lalui dari orang-orang yang hanya kita anggap menambah duri di luka. Sekalipun orang-orang itu kita anggap lupa diri, mereka tetap punyai sesuatu yang kita sendiri tidak ada.
Jangan hanya kerana orang-orang itu hidup di sekeliling kita, hadir sama dalam perjalanan kita, maka kita agung-agungkan dan mengangkat besar jasa mereka, apa yang kita lakukan semuanya di jalan amal yang Allah redhai, tetapi orang-orang yang di luar kelompok kita; kita cari-cari kekurangan dan tabur dengan kepercayaan yang mereka tidak melalui jalan seperti kita; jalan orang-orang yang menuju kebaikan. Sungguh; jauh dari had sempadan pengetahuan kita, Allah lebih mengetahui segala sesuatu.Tidak salah memperbesarkan jasa-jasa mereka sementelah kebaikan itu memang sangat bernilai, malah besar manfaatnya menyebar kebaikan orang; tetapi jangan pula memperkecilkan jasa orang lain yang tidak pernah kita berpeluang mendapatkannya.
Di seluruh belahan dunia, kita menyebar mahu melakukan yang baik-baik; tetapi kita lupa sesuatu yang lebih penting; memaafkan dan mendengar teguran. Kita sebenarnya masih lagi punyai penyakit hati jika kita berasa diri tidak layak ditegur. Maafkanlah orang, kerana kita sendiri tidak sedar berapa besar kesalahan kita kepada orang.
* Berusahalah pejuang. Semangat dan usaha juang yang telah dilipatgandakan selama ini sangat besar ertinya dan amat layak dipuji. Jangan kotori dengan debu yang secalit, yang boleh memudarkan terangnya jalan itu.
Maafkanlah jika entri ini bunyinya sangat kasar, maafkan jika diri ini menyakitkan dan menjengkelkan, sekadar mahu mengingatkan diri sendiri dan orang di sekeliling yang disayangi; tindakan tidak mempeduli hanya merugikan.