Dalam hidup, pasti kita ketemu sesuatu yang mengagumkan. Atau menjengkelkan membuatkan persekitaran tidak enak. Atau sesuatu yang menghiburkan; memudarkan yang rawan dan ruwet jadi lebih terang.
Pasti ada saat yang menyukarkan, rasa payah diuji dengan keadaan yang menyulitkan. Kadang-kadang ada fitnah yang disebar padahal situasi tak seperti digambarkan. Malah tidak ada sekelumit pun RASA itu datang seperti dibesar-besarkan. Tapi; manusia mungkin mereka rasa dapat membaca hati orang dengan benar-benar; maka terus membuat telahan dan bersorak suka menyebar cerita. Biarlah, kalau itu menjadikan mereka lebih yakin dan seronok dengan tindak-tanduk, dengan mata tunak mengotorkan maruah orang. Maka; sekarang lebih baik diam daripada taksub banyak berkata-kata. Dan terasa benar-benar mahukan persekitaran yang baru dan lebih menyegarkan.
Saya juga; manusia dhaif yang kadang-kadang mengkritik padahal manusia itu saya tahu tidak sempurna. Lupa pada taklif yang dipundak; malah terasa kita sempurna maka berlebih-lebih mencela orang. Dan saya tahu benar benar; sy bukan manusia baik.Saya sebenarnya tidak suka menyebar atau membesar-besarkan libang-libu hati atau berkisahkan perasaan yang itu untuk santapan umum. Malah; cerita hati atau peribadi adakala hanya perlu jadi jihad dalam diri.
Terasa hari ini sy mahu meluah rasa. Bohonglah kalau kita kata tidak pernah bertemu dengan orang yang seluruhnya membuat kita kagum. Lupakan dulu soal lelaki atau perempuan. Skop hidup lebih jauh daripada itu. Halawah hidup diraih bukan hanya berlegar cerita cinta sahaja.
Setiap hari terselit cerita yang macam-macam, tambah sy suka meraih cerita perjalanan orang yang pernah tersadung; jadi hebat besar akhirnya. Cuba cari susur leluhur cerita J.K Rowling; janda yang gagal besar dalam perkahwinan. Miskin dan hanya berjalan kaki ke mana-mana. Tempat menulis hanya sebuah kafe yang tidak banyak membantu memberi persekitaran enak. Bertemankan bayi di sebelah yang tertidur, secangkir kopi dan segelas air; dia memaksa diri menulis kerana tempat tinggal terlalu sempit dan dingin, tidak memungkinnya mencari inspirasi. Dengan rasa simpati yang amat empunya kafe; dia dibenar menulis di situ.
Dengan susah perit hidup; maka dia terkenal gah di dunia penghujungnya. Cerita Harry Potter diilhaminya sebelum menikah; saat perjalanan terbantut selama 4 jam dari Manchester ke London. Saat menunggu meneruskan perjalanan; dia terpandangkan sapi yang tidak pernah disangka yang akan melorongkannya menjadi sebaris penulis terkenal di dunia. Wujud cerita Harry Potter yang jadi kegilaan; mungkin kedua selepas Lord Of The Rings. (pendapat peribadi saya).
Pernah dalam perjalanan hidup yang jiwanya seperti remaja lain; sy menyusuri novel-novel yang lebihkan rasa hati. Cerita cinta tunak yang indahnya sekejap; kesannya sementara. Isinya kosong; maka layak digelar picisan. Saya tinggalkan semua itu.
Sebelum itu; pernah membelek-belek koleksi abang; seluruhnya mungkin rak-rak almari penuh dengan novel-novel sasterawan negara mahupun karya falsafah Barat. Selain buku-buku architecture dan interior design. Kemudian, sy didedahkan dengan tulisan-tulisan penulis muda sekarang. Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Fahd Razy dan yang lain. Penulis yang rencam kerjaya; doktor, engineer, lecturer dan diketemukan dengan hobi yang sama.
Kerjaya yang di luar bidang penulisan; pun masih mampu meraih ruang menulis cerita yang padu. Berisi, matang, mantap dan menarik. Itu yang boleh sy luah pendapat.
Mungkin antara yang sy pernah kagumi juga, seorang anak muda itu. Lama dulu. Sangat manis tingkahnya, baik tutur kata dan menghormati orang. Punya peribadi yang bersih, selebihnya mungkin kita boleh katakan dia merendah diri walau persekitaran dan latarbelakang hidup memungkinnya untuk merasa lebih. Punya wawasan jauh ke depan. Maruah diri yang dijaga dan cita-cita yang jelas dan nyata, juga meluang masa berhibur dan bersosial dengan teman-teman; membuatkan dia disenangi ramai. Anak muda yang layak dikagumi; hampir 6-7 tahun lalu. Tentunya; dia punya kekurangan, pun keperibadian menutup kelemahannya. Anak muda Islam yang jarang ditemui; malah sukar sekali melihat yang sepertinya. Berpendidikan bukan di bidang agama, tapi pasak tunjang tingkahnya mencerminkan dia menitikkan urusan Tuhan. Komited dalam mencari ilmu. Dia layak dikagumi dan diberi penghormatan. Dipuji dan diambil contoh lebih-lebih lagi. Sampai ke hari ini mungkin sy jarang bertemu dengan orang sepertinya. Ada; tapi amat jarang. Mungkin; pandangan peribadi kita berlainan. Tidak semua di pandangan kita menarik, di mata orang juga ada istimewanya. Jadi, jangan mudah membuat telahan awal. Tuhan mengurniakan kita dengan pelbagai rasa dan mata hati. Lain dan tidak sama. Maka kita ikut rasa dan naluri sendiri.
Apa pun; moga Tuhan menjaganya dengan inayah dan redha yang besar. Tidak memungkinnya tersasar dan terpesong ke lorong salah.
Barakallahufik.


