Monday, May 30, 2011

Yang Lama-lama..Yang Lapuk-lapuk

Monday, May 30, 2011

Menjadi guru; menjadikan saya setiap hari menjamu mata dengan peristiwa-peristiwa yang berlegar sekitar kanak-kanak. Bergelumang dengan kanak-kanak, macam-macam yang kita jumpa. Kanak-kanak di awal pembelajaran darjah 1 hinggalah kanak-kanak yang hampir remaja, 12 tahun. Anak-anak 12 tahun dengan rentak dan kerenah yang sudah agak matang berbanding adik-adik lain di sekolah rendah; dan cabaran mendidiknya berbeza dengan anak-anak di awal kanak-kanak.

Meniti hidup kanak-kanak berusia 7 tahun pula, dugaannya juga bukan sedikit. Dari sehari ke sehari, menjadi guru bukan hanya mengajar, membimbing murid dengan mengikuti aktiviti-aktiviti sekolah, bukan hanya bersabar mengawal emosi, bukan sekadar mencari upaya meningkatkan semangat mengajar; tapi juga belajar mendekati cara pemikiran dan kehendak mereka. Mendidik anak-anak yang berbeza usia, yang berbeza tahap pemikiran dan yang berbeza gaya memberontak mendepani hidup. Maka, hidup menjadi guru bukan hanya mengajar, tetapi juga kita perlu belajar pada setiap hari. Kita belajar dengan meneliti perkembangan kanak-kanak daripada setiap peristiwa yang berlaku.

Betullah, dalam The Kite Runner; trauma dan pengalaman di usia kanak-kanak menjadi pengaruh besar dalam mempengaruhi keghairahan hidup. Cerita lampau, cerita lama yang menginspirasikan, cerita di usia hijau yang hitam dan kelabu; semuanya bercambah untuk membentuk menjadi seseorang. Seseorang yang kita pilih, ke mana dan bagaimana mahu perginya kita.

Cerita kita dulu-dulunya di usia kanak-kanak dan remaja juga tentunya banyak, sebelum sampai ke usia ini. Kenangan lapuk kita sesekali perlu dikenang-kenang juga. Peristiwa-peristiwa atau bahan-bahan yang menginspirasikan walau sekadar ketika zaman kanak-kanak, wajar juga diulang tayang di dalam diri. Supaya kita mengenal asal-usul kita dari rentetan perjalanan yang jauh; tidak kira siapa kita sekarang ini.

Seperti kata; kualiti, lebih baik daripada kuantiti.

Tidak kira sedikit atau banyaknya peristiwa pengalaman hidup anda; yang berharga dan dihargai berkualiti itu lebih penting. Yang diingat-ingat dan betapa mahalnya kenangan itu lebih penting. Biar kenangan yang diraduk titik hitam; pun anda mengambilnya buat meneladani perjalanan hidup anda. Biar kenangan diharumi cerita manis; pun anda tetap menghiasinya di lilitan perjalanan anda yang jauh.

Saya teringat cerita Jepun, Moero Attack. Berkitar permainan bola tampar yang menjadi ikutan kanak-kanak di usia saya di zaman sekolah rendah. Sekitar akhir 80-an. Sangat terkenal. Semangat Chun dan rakan-rakan menjadi bualan, kekentalan mahu mengejar impian menjadi inspirasi kami anak-anak ketika itu. Memotivasikan. Kemudian, di usia awal remaja, saya selalu juga mengikuti cerita-cerita Hong Kong. Antara cerita yang memberi semangat mengejar impian; Peak Of Passion. Sekumpulan anak muda yang ingin mendaki Everest. Juga cerita yang memotivasikan. Itu antara cerita-cerita tv yang boleh dibuat bekal, selain Al-Quran yang menjadi tunjang utama motivasi dan sumber hidup di samping peristiwa-peristiwa peribadi kita, buku-buku cerita dan sirah2 Nabi serta kisah perjalanan tokoh-tokoh yang menginspirasi.

Pengaruh perjalanan di usia kanak-kanak sangat besar. Sangat memberi impak. Di sekeliling kita, sebenarnya terlalu banyak perkara yang mengajar kita mengejar. Mengejar sesuatu yang kita sendiri rasakan mustahil. Mendorong kita yang selalunya kalah di tengah jalan. Maka, tugas saya sekarang ini memimpin anak-anak sekolah mengejar sesuatu. Mengejar sesuatu yang menjadi impian besar mereka. Mengejar masa depan yang mereka sendiri rasakan masih kabur. Mengajar anak-anak sekolah yang jalan perjalanannya masih jauh ke depan. Bukannya terhenti di pertengahan kejayaan.

Maka, Jalan Itu Jauh saya jadikannya kepala blog. Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh orang yang berjaya biasanya perlu usaha gigih dan kerja keras, di samping dugaan-dugaan yang didatangkan Allah untuk mematangkan lagi kita dengan cara mendekatinya. Jalan jauh itu luas maknanya. Sebagaimana kita mahu cemerlang dalam sesuatu yang kita ingin capai, hanya dengan usaha yang sedikit, kita tidak akan dapat meraih cemerlang yang dituju. Lainlah kita hanya bermatlamatkan hidup dan mati yang biasa.

Tidak kira cemerlang dari segi apa, usaha yang banyak dan sistematik memang diperlukan. Maka jauh jalannya itu saya pegang. Allah ada di sisi kita, itu perlu ditanam dalam hati. Tapi jika hanya sematkan di dalam hati dan percaya Allah itu di sisi, tanpa usaha yang banyak dan cuba melalui jalan-jalan yang senang dan pendek; maka pengalaman hidup dan sesuatu yg dicapai kurang manis hasilnya. Atau mahu kerja lebih mudah dan jalan pendek; tetaplah di takuk lama. Pendekkan jalan, cepatlah hasilnya. Kuranglah kualitinya, walau hasilnya banyak.

Kita berusaha, Allah mahu memendekkan jalan, itu kerja Dia. Kita berusaha, Allah menangguhkan dan kita perlu berjalan jauh lagi, itu juga kerja Dia. Yang kita pegang; jalan perlu ke depan dan perlu usaha yg berterusan dn banyak, dan Jalan Itu Jauh sebagai metaforanya. Jika gagal dan jatuh, jangan berhenti. Kerana perlu percaya jalan hidup kita tidak akan mati di situ selagi hayat belum ditarik. Jalan itu masih panjang dan di depan sana kita akan menemui pelbagai lagi sesuatu yang tidak pernah kita jangka.

Bekerja dan belajarlah hidup seperti lebah. Lebah secara semulajadinya melambangkan kitaran hidup yang sibuk. Usaha. Usaha. Usaha. Diiringi doa. Dan jangan dianggap usaha kita banyak, maka dicanang-canang orang lain kerja kerasnya sedikit. Dicanang-canang pula orang lain tidak berusaha kuat seperti kita. Jauh dari sisi hidup kita, Allah sebenarnya lebih mengetahui usaha dan tindak tanduk kehidupan orang lain. Ada satu kisah yang saya baca di blog Ummu Hani tentang seorang penulis muda yang rasanya perlu dikongsi. Tidak kiralah pekerjaan anda itu apa, di tahap mana anda diterima pembaca, janganlah ego. Jangan bongkak dan berasa diri sudah hebat melebihi yang lain. Saya kira tulisan Ummu tentang ini sangat bermakna. Tidak kira kita tua atau muda kita manusia yang akan tetap ditelan tanah. Sama.

Selamat belajar dan mengejar, wahai teman!


 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket