Thursday, August 4, 2011

Pelajaran Saya Hari Ini

Thursday, August 4, 2011

James Patterson. Sifat uniknya; fobia komputer. Dia menulis kesemua ceritanya menggunakan tangan sehingga terkumpulnya 17 karya yang bernilai RM300 juta. Satu pelajaran yang kita boleh ambil walaupun dia bukan saudara seagama, tetapi kesungguhannya menyelesaikan sesuatu itu yang perlu dicontohi. KEGIGIHAN MENCAPAI MATLAMAT. Matlamatnya apa, itu selebihnya di atas keinginan dan keperluan kita di atas paksi yang betul.

Faisal Tehrani, penulis tempatan yang punyai gaya tulisan yang saya suka, yang buah tangannnya sentiasa saya sambung baca di tahun-tahun dulu. Manikam Kalbu; antara luahannya yang akhirnya dijadikan teks wajib di Jerman. Cerita-cerita dan kritikannya dalam berkarya banyak boleh diraih.

John grisham, bekas peguam yang letak jawatan. Karyanya berlegar dunia kepeguaman dan untuk menghasilkan salah satu novelnya yang terkenal sahaja dia mengambil masa 2 atau 3 tahun. Tempoh yang cukup lama untuk mengkaji. Sekali lagi, KESUNGGUHAN dalam sikap penulis non-muslim itu perlu kita terapkan dalam diri setiap Muslim. Mungkin baginya menghasilkan sesuatu yang bermutu, bukan hanya dengan imaginasi tanpa fakta, dikarang tanpa rasa kerana mahu cepat-cepat dibaca orang dengan harapan dipuji hingga ke langit; tetapi penyebaran ilmunya diteriakkan melalui jalan cerita yang dikarang dengan kesungguhan. Bukannya dengan jalan cerita yang mudah ditebak atau asal siap.

Tetapi, lama atau cepatnya tulisan yang diluah lewat karya, tidaklah menjadi soal. Asal berkualiti. Asal banyak yang boleh diambil, seperti tulisan Andrea Hirata yang tidaklah lama dibuatnya tetapi penuh dengan kajian tentang tabiat manusia, perasaan, pengetahuan, dan motivasi yang mengerah untuk mencapai sesuatu. Lewat karyanya yang tersendiri.

Ya. Ada cerita yang ditulis gah dipuja-puja orang, tapi mungkin tidak sampai ke hati kita. Mungkin ada kisah yang sangat menyentuh nubari kita, tidak mendapat tempat pun untuk memenuhi citarasa orang. Pilihan di tangan kita untuk memilih cerita yang kita rasa menjadi aspirasi. Kita memilih sesuatu yang bertepatan dengan penerimaan kita untuk menginspirasi kita terus bergerak dan bekerja di jalanNya. Tidak perlulah mempersoalkan sebagaimana sedikitnya orang bekerja, banyaknya kita bekerja. Tidak perlu memperbesar-besarkan sebagaimana gigihnya kita mengisi luang waktu dan mewar-warkan betapa akrabnya kita denganNya dan memalitkan kata-kata kasar untuk menunjukkan orang lain hidupnya jauh menyimpang. Jauh bezanya dengan kita. Atau paling tepat kata-kata Wardina Safiyyah;

Kita tidak ada ‘termometer’ untuk ukur takwa atau iman seseorang.

Tidak boleh mengatakan orang-orang yang tidak bersetuju dengan kita, sudah neraka jawabnya. Orang yang mengkritik kita, padah balasannya nanti. Orang yang mahu menolong kita membaiki diri, dibenci kita sungguh-sungguh. Dia kita anggap jauh daripada Allah, sebab menghina kita. Dia tidak sedalam kita mendalami dan membuat amalan. Ilmunya tidak luas seperti kita. Sesiapa yang tidak mengiyakan buah fikiran dan memandulkan pandangan kita, dia layak mendapat balasan. Selayak manakah kita mengukur ilmu orang? Selama manakah kita mahu selesa setiap waktu dengan mengharap orang membenarkan segala perkataan yang dikeluarkan oleh kita? Pendapat kita tidak pernah ada cacat cela. Kita, lebih baik daripada orang lain. Dicari-cari pula kesalahan dalam setiap kata-kata dan perbuatan orang, biar orang itu salah tampaknya. Jangan berasa diri mulia wahai diri, Allah lebih berhak. Menilai dan mentaksir amalan. Mentafsir hati dan ibadah orang.

Kita pencari ilmu yang masih lagi dalam proses mencari ilmu. Jangan sempitkan perjalanan ilmu dan menghadkan bilangan ‘guru’ di dalam hidup kita.

Ketika di USM, saya pernah mengikuti kelas DR Asri Zainul Abidin dan pensyarah lain melalui subjek-subjek Pengajian Islam selama 4 semester. Walaupun mengikuti degree Mikrobiologi, saya memilih untuk mengikuti kelas Pengajian Islam selain menduduki kertas Kimia, Matematik dan subjek wajib lain. Tidaklah sedalam orang lain, tetapi tetaplah ada asasnya. Kerana saya tahu Sains itu perlu seiring dengan penghayatan Islam, kerana masih mengingati ajaran pensyarah saya di matrikulasi dulu yang acapkali mengaitkan ilmu Biologi dengan Islam setiap kali dia menerangkan sesuatu. Tetapi, saya manusia yang tidak bersyukur. Tidak mempergunakan peluang yang ada dengan sebaiknya. Disediakan persekitaran yang banyak positif di sepanjang perjalanan hidup, tetapi tetap melakukan keburukan. Sangat banyak kesalahan, sama ada sengaja atau tidak kepada diri apatah lagi kepada orang. Malas, semangat yang terhenti, lesu, kalah kepada keadaan, mencicirkan segala ilmu yang telah dipelajari; semuanya bersaring menjadi alasan saya untuk tidak sampai ke matlamat yang sebenar.

Sekarang; saya harap tugas saya pula menginspirasi anak-anak didik. Belajar daripada guru-guru terdahulu, barisan rakan-rakan guru, teman-teman, keluarga, persekitaran dan pengalaman yang pernah menginspirasi kitar hidup saya satu ketika dulu. Perjalanan yang mungkin dianggap tidak besar dan mungkin juga boleh diperlekehkan orang yang merasakan diri sudah jauh melayang di atas, tidak pula boleh digah-gah; tetapi biar jadi pengajaran dalam laluan hidup saya. Pengajaran. Dalam pelajaran.

Kesungguhan, dalam mencapai pelajaran dan menyebar pengajaran adalah satu disiplin. Dan penilaian itu juga perlu untuk mendisiplinkan manusia mencapai matlamat. Penilaian adakalanya menggesa manusia untuk mempelajari dan memahami dengan bersungguh. Ada segelintir yang perlu dikerah dan digesa untuk belajar. Ada kelompok manusia yang sememangnya belajar berterusan (dan guru perlu berdepan dan memandu semua jenis ragam dan kerenah dalam satu masa). Perlu kita fahami manusia bermacam watak dan tindakan. Kadang-kadang kita berasa kita sudah cukup memahami, tetapi kita sebenar tersalah faham dalam sesuatu yang kita pelajari. Maka penilaian adalah cara untuk membetulkan semula apa yang dikatakan syok sendiri. Meneroka semula kelemahan melalui penilaian lepas. Tekanan kadang-kadang perlu untuk menggerakkan manusia mencapai kejayaan. Tetapi, penilaian hanya adalah satu cara; perlu ada tetapi pengukur kejayaan sebenar adalah dari pelbagai cara lain lagi.

Betapa tinggi pun anda di atas, betapa rendahnya anda di bawah sekarang ini; catatan ini perlu kita pahat kukuh;

Imam Suhaib Webb adalah 'Mat Saleh' :) pertama dari Amerika yang menghafal Quran lulusan dari Al-Azhar...dahulu bersama peniaga dadah tegar dan kini seorang Dai'.. MasyaAllah i fell in love with his sincerity....people CAN change..JANGAN sesekali menghina sesiapa kerana satu hari dia mungkin lebih baik dari kamu. Allah melihat pengakhiran kita bukan permulaan.- Wardina Safiyyah OfficialPage



Dia Yang Melukai. Dia Yang Menginspirasi.

Saya mahu anda baca cerita ini. Cerita yang dianggap kecil bagi sesetengah orang, tapi cukup besar untuk mempengaruhi perjalanan manusia lain. Usaha dalam meneruskan masa depan sembari mengubah haluan hidup menjadi lebih baik. Keikhlasan yang mempesona, tidak gah pun disebar-sebarkan lewat semua orang, tetapi cukup bermakna. Dia, guru yang saya anggap menginspirasi. Dia, adalah guru pemudah cara. Dalam pelbagai lorong dan jalan. Guru yang menjadi perantara kesusahan murid hari ini dengan kesenangan dan kecerahan masa depan murid itu yang terbentang di depan. Dengan berbekalkan semangat dan ketulusan hati guru yang benar-benar berjiwa kemanusiaan. Jiwa yang mahu berbakti dalam mendidik manusia.

Kisah di blog ini dan cerita di sini turut menjadi contoh bagaimana nekadnya guru yang mahu membuka jalan memungkinkan sesuatu yang tidak mungkin di mata para pelajar dan masyarakat sekitarnya. Kisah-kisah mereka membuktikan setiap murid punyai potensi besar kesan gerak langkah guru yang prihatin seperti guru-guru dalam kisah ini. Guru-guru yang gigih mendorong murid menggunakan KESUNGGUHAN untuk mencapai matlamat. Juga sasaran. Mereka; guru yang mengambil tahu hampir kesemua latarbelakang dan konflik dalam hidup setiap murid-muridnya di dalam kelas. Seperti Cikgu Jimi-Wiser ini. Seperti Cikgu Imah ini.

Pun; dalam yang menginspirasi tetap ramai juga guru yang melukai. Meninggalkan kesan dan parut yang dalam di hati. Mungkin di luar kemahuan kita, tetapi kesannya mungkin mempengaruhi hampir keseluruhan hidup anak-anak yang kita corak. Cerita di bawah ini mungkin antara kisah yang boleh diiingat-ingat untuk sentiasa kita kenang dan belajar, di sepanjang perjalanan putaran hidup kita menjadi guru.

Ingin dikisahkan mengenai seorang guru yang telah lama bersara dan hidup mewah di Kuala Lumpur. Selepas keluar maktab pada tahun 60-an, Cikgu Notrah dihantar mengajar ke sebuah kampung di pedalaman negeri Sarawak Bumi Kenyalang.

Perasaan Cikgu Notrah sangat tertekan kerana dia dilahirkan serta dibesarkan di Kuala Lumpur. Dia tidak pernah terfikir akan dihantar ke kawasan pedalaman yang sangat dhaif di mana murid-muridnya berkaki ayam, comot dan penuh lumpur.

Kini, setelah berpuluh-puluh tahun meninggalkan sekolah buruk itu, satu hari Cikgu Notrah menerima surat yang menjemput dia hadir ke majlis perasmian sekolah baru di kampung itu. Cikgu Notrah bersetuju untuk hadirkan dirinya. Dia diletakkan di sofa paling depan bersama tetamu kenamaan lain. Perasminya ialah seorang Pegawai Daerah yang baru ditugaskan ke daerah itu.

Khabarnya Pegawai Daerah tersebut adalah anak kampung itu yang pernah bersekolah di sekolah berkenaan. Ketika dijemput membuat ucapan perasmian, beliau menceritakan pengalaman zaman kanak-kanaknya di kampung itu. Katanya, dulu dia berkaki ayam ke sekolah, berbaju kotor dan comot kerana jalan kampung yang becak semasa hujan.

“Tetapi, cikgu-cikgu saya telah membimbing saya dengan baik. Kalau tidak kerana mereka, tentunya saya tidak ke mana-mana,” dia berhenti seketika menyurai sebak. Suasana menjadi sepi seketika. “Salah seorang yang paling berjasa kepada saya ada bersama-sama kita…,” kata Pegawai Daerah itu meninggalkan restrom dan menuju ke arah Cikgu Notrah.

Dia menyalam sambil mencium tangan Cikgu Notrah dengan air mata yang berjuraian. Cikgu Notrah tergamam. Dia tidak kenal pun dengan Pegawai Daerah ini. “Tuan Pegawai Daerah ni siapa?” tanya Cikgu Notrah sungguh-sungguh. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa sayu. Sudah lama tidak ada yang membahasakan dirinya cikgu.

Pegawai Daerah itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia menghulurkan sebuah bungkusan dan meninggalkan Cikgu Notrah dengan penuh tanda tanya. Ligat dia memikirkan, irasnya tidak ada pada anak muridnya yang berbau selut suatu waktu dulu.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Cikgu Notrah rakus membuka bungkusan tadi. Di dalamnya berisi sebiji pasu bunga kecil. Disisipkan sekeping nota, “Maafkan saya cikgu, saya mengambil masa yang lama menggantikan pasu bunga cikgu.” Sepantas kilat lingkaran ingatan Cikgu Notrah kembali pada hari pertama dia di sekolah itu pada tahun 60-an dulu. Seorang murid berbau hamis, kotor dan berkaki ayam terlanggar pasu bunga di atas mejanya. Pasu itu jatuh dan berkecai.

Kebencian dan kemarahan bersatu. Cikgu Notrah menyambar penyapu bulu ayam dan membelasah murid itu semahu-mahunya. Setiap kali rotan singgah di punggungnya, dia tersentak. Mula -mula murid itu menangis tetapi lama kelamaan tangisannya hilang. Dia seperti reda dengan apa yang dilakukan ke atasnya.

Cikgu Notrah tidak ingat berapa kali dia melibas rotan itu. Yang dia sedar, tenaganya semakin hilang.. Paha budak itu pula berjajar merah. “Cikgu…., ampunnnn…,” kata-kata yang perlahan itu bagai tidak bermaya masih terlekat di ingatannya. Cikgu Notrah tersedar dia gagal menguruskan kemarahan dan kebenciannya.

Perlahan-lahan airmata Cikgu Notrah jatuh di atas pasu yang dipegangnya. Pandangan menjadi kabur dek air mata yag berjuraian. Dia menangis semahu-mahunya. Dia mengambil masa berpuluh tahun untuk menangis di atas perlakuannya.


 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket