Thursday, July 14, 2011

Hati-hati dengan Hati

Thursday, July 14, 2011

Saya suka membaca cerita-cerita teman atau orang-orang sekeliling. Cerita menjadi ibu kepada anak-anak yang masih kecil, dalam masa yang sama memundak tugas sebagai isteri yang bekerja, ibu rumah yang menguruskan keperluan rumahtangga, sedang belajar pula ke peringkat yang tertinggi, menjalani kehidupan pula sebagai manusia biasa yang memerlukan masa senggang untuk memulihkan semula semangat fizikal, bersilaturrahim dan menyambung tali ikatan dengan yang lain dan hamba yang patuh pada suruhanNya, masa tentunya sangat terhad. Tetapi mereka masih boleh melaluinya dengan baik walau beriringan tekanan-tekanan yang menemani. Pengorbanan mereka memang bukan sedikit. Rencam tanggungjawab dalam satu masa. Yang perlu diuruskan dalam satu hari. Yang waktunya diisi dengan perkara-perkara penting yang perlu didulukan.

Hati digenangi kasih sayang dengan rasa tanggungjawab, percaya Allah memudahkan jalan bagi sesiapa yang berusaha dekat denganNya, serta matlamat menuntut ilmu sehabis daya untuk menyebarkan pula ilmu itu di kemudian hari, di samping mengerah kudrat mencari rezeki untuk menyambung hidup dan berbakti; mungkin ini yang menggerakkan mereka. Mengorbankan sesuatu yang lain; untuk mendapatkan sesuatu yang diganjari Allah yang lebih baik. Melakukan amalan dengan cara tersendiri untuk mencapai sasaran dan redhaNya. Maka orang-orang ini sangat saya kagumi. Mengisi ruang waktu dengan pelbagai tugas yang menuntut upaya dari segala sisi. Langkah yang diorak bukan untuk sia-sia, untuk beramal juga akhirnya. Hati yang cekal. Kuat. Meskipun tuntutan tugas dilihat sangat berat, yang mendepani dugaan mungkin lebih memahami keadaan itu. Moga Allah memudahkan dan memurahkan rezeki kepada hati-hati yang bersih dan kuat. Seperti mereka.

Hati. Yang mencorakkan banyak perilaku. Baik atau Buruk. Harum atau busuk.

Hati yang sakit; ada dua cabang yang mempengaruhi hatinya. Kecintaan terhadap Allah, keimanan dan ketaqwaan kepadaNya; tetapi dalam masa yang sama sifat iri hati, dengki, ujub, cintakan kekuasaan dan bangga diri menulari hati yang tersorok tanpa dilihat sesiapa. Bongkak menyerap perlahan-lahan sehingga hati menutup sesuatu kebenaran yang sampai kepadanya. Maka susah untuk mengakui kekurangan dan kesalahan diri. Maka wujudlah keadaan obses pada diri sendiri dan mewar-warkan dirinya banyak melakukan kebaikan dan tinggi darjatnya berbanding yang lain.

Nabi Isa a.s pernah bersabda:

"Wahai hawarij-hawarij, sangat banyak lampu yang dipadam oleh angin, ramai ahli ibadah yang rosak oleh ujub"


Dalam rutin kita sehari-hari, tentu banyak pekerjaan kita diranduk kekurangan dan kesilapan. Mari memulihkan semula hati yang menjadi tunjang segala perlakuan dan amalan kita. Dalam hidup,
kadang-kadang kita hanya mahu memberi sesuatu atau hanya mendapatkan sesuatu sahaja; itu silap kita. Kita tidak memiliki semua pengetahuan yang orang lain ketahui, justeru ilmu yang dirasakan perlu daripada orang lain patut kita tuntut. Buah fikiran orang patut diteroka dan disaring mengikut keperluan, bukan hanya mahu menjarah orang lain dengan hasil fikiran dan ilmu kita sahaja. Sabda Rasulullah mengatakan tidak akan masuk syurga orang di dalam hatinya ada kesombongan.


Pun begitu, perlu diingat juga orang-orang di sekeliling kita adakalanya kadang-kadang tersalah, kadang-kadang tersilap percaturan, jangan mengiyakan segala yang keluar daripada pendapatnya dek kerana kita terlalu taksub. Menyetujui setiap butir perkataannya dari segenap hal walhal ianya lari dari pegangan asal kita.

Kata-katanya betul belaka. Tindak tanduknya sempurna. Perkataannya tidak pernah salah. Pendapatnya jangan sesekali disangkal kerana kita kira ia sempurna semua.

Wahai kawan, jangan sampai jadi taksub. Mengagumi biar berpada-pada. Manusia kadang-kadang tersalah langkah. Jangan kerana dia selalunya baik, yang salah dan difikirkan tidak sesuai kita tetap mengatakan ianya betul. Dan itu mungkin akan menjadi tiket untuk tidak muhasabah diri dan mengagung-agungkan diri sendiri.


Dan...yang terbaik daripada hati manusia itu adalah kata Saidina Ali r.a:

“Yang paling kuat, yang paling bersih, dan yang paling lembut”.



Saturday, July 9, 2011

Pengalaman Itu

Saturday, July 9, 2011

Hampir enam tahun lalu saya datang ke tempat yang sama. Tanah yang sama. Resort yang sama. Pantai yang sama meski butiran pasir sahaja yang kian bertukar ganti. Enam tahun lalu saya datang sebagai yang mengikuti kursus. Kursus Kepimpinan anjuran kelas KPLI IPSAH kami. Tahun 2006. Kali ini saya datang sebagai salah seorang guru, murid-murid pula yang mengikuti aktiviti di sini. Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR untuk pelajar-pelajar Tahun Enam SKAL 2011 di Pantai Melawi, Bachok. 3 hari 2 malam.

Mungkin sebelum ini ada saya ke Pantai Melawi, tapi bukanlah untuk aktiviti formal. Tahun makin berganti. Kata orang, biarpun kita ke tempat yang sama, dengan orang-orang yang sama, kenangan dulu tidak akan dapat diulang semula. Mahalnya tidak sama. Masih ingat tawa yang acapkali pecah mengisi hening malam di Pantai Melawi beberapa tahun dulu. Kenangan bersama rakan-rakan yang masih bergelar guru pelatih. Penat mengikuti kursus, kami bermain pijak-pijak bayang di gigi air. Setua mana pun orang itu, mereka tetap perlu mencari sedikit hiburan buat menghilangkan tekanan dan bebanan. Memulihkan semula tenaga dan motivasi. Jauh di tengah laut samar-samar cahaya bot nelayan menakluk pandangan. Semilir lembut mengelus-ngelus mendamaikan suasana. Kenangan yang hadir bersama lagu Warisan diselang-seli dengan kocakan air pantai di pagi hari. Basah lencun berendam di dalam laut mempergunakan peluang yang ada setelah penat berkursus. Kenangan yang mungkin sudah lama tidak hadir dimakan tahun, tetapi masih mampu untuk diingat-ingat lagi. Kenangan bersama rakan-rakan KPLI Sains 2006- datang dari berlainan universiti dan latar belakang ijazah sarjana muda, berkongsi segala pengalaman dalam masa setahun dengan sasaran untuk menjadi guru.

Setahun mengikuti KPLI, rencam aktiviti kami ikuti. Berkongsi lelah memanjat dan berkhemah di Gunung Jerai dan itulah sebenarnya buat pertama kali dalam hidup, saya memanjat gunung. Kami sama-sama menjelajah Pulau Pangkor ketika program Bina Insan Guru. Kami diarah mencipta rakit sendiri dan berakit-rakit di tengah lautan, di samping treasure hunt, memasak di tengah hutan menggunakan kayu api dan aktiviti-aktiviti lasak lain yang saya sudah hampir lupa. Dan pada tahun yang sama, kami ke Pulau Pangkor lagi untuk Pendidikan Luar. Aktiviti PL lebih mencabar berbanding BIG. Pertama kali dalam hidup saya, saya disuruh berkayak. Berkayak dari pulau ke pulau. Menterbalikkan kayak dan diri sendiri ke dalam laut dan naik semula ke atas kayak. Pendidikan Luar menawarkan banyak pengalaman ‘pertama kali’ dalam hidup saya. Ketika itulah saya merasai pengalaman snorkelling buat pertama kali. Absailing. Flying Fox. Orienteering. Juga buat pertama kali untuk saya.

Kami turut ditinggalkan di tengah-tengah laut dan dipaksa berenang sendiri ke pantai. Pengalaman pertama kali lagi untuk saya yang tidak pandai berenang. Akhirnya dibantu kawan kerana meskipun sudah penat masih tidak berjaya untuk berenang ke pantai yang masih terlalu jauh.

Ada pengalaman manis di Pulau Langkawi, juga bersama rakan-rakan KPLI untuk mengikuti Kursus Kepimpinan Puteri Islam. Lawatan ke USM bagi program Astronomi, melawat sekolah orang asli di Grik, English Sketch, aktiviti BTN, ROS, praktikum serta kenangan-kenangan dalam aktiviti tidak formal yang dibentuk bersama dalam setahun dengan assignment yang menggunung pada masa yang sama, mengukir banyak rasa. KPLI yang banyak mengorbankan perahan keringat dan kerahan kudrat. Bersama rakan-rakan yang banyak menyumbang asa dan penuh perikemanusiaan.

Sekarang, tahun 2011. Hampir lima tahun saya menjadi guru. Tahun ini saya belajar perkara baru lagi. Kadang-kadang sesak disimpan di dalam dada, terhambur juga keluar kadang-kadang di kala lelah, penat dan di bawah tekanan. Kerana setiap hari pasti kita belajar sesuatu pengalaman. Pengalaman yang bermula dari awal tahun 2007 di Sarawak sehingga di negeri kelahiran sendiri sekarang ini. Pengalaman dalam dunia perguruan saya yang masih mentah. Dan saya tahu tugas hakiki adalah perkara penting sebagai kerjaya yang perlu didulukan, berbanding perkara-perkara yang perlu dikesampingkan. Amanah yang akan mengalirkan hasil rezeki di dalam darah dan ke seluruh tubuh badan kita. Allah Maha Mengetahui segala gerak laku kita di sini, dan manusia-manusia lain yang jauh dari penglihatan kita. Di sana.

The good you do today will be forgotten tomorrow. Do good anyway.”


 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket