Friday, December 18, 2009

Titik.

Friday, December 18, 2009

Polos. Sederhana. Rendah hati. Pun juga, jiwa obor apinya tinggi mengejar yang dicita. Itu ragam peluah karya yang selalu saya layari blog dan susuli buah tangan novel-novelnya. Banyak yang diraih, kembara pengalaman yang beragam, ilmu akademik yang melimpah, tetap tekal dengan semangat menuntut ilmu agama yang melaut luas. Tidak obses pada diri.

Siapa yang senang bila ada yg mendabik dada, ego melenking tinggi, merasa luah tulisannya terhebat tidak terbanding sesiapa. Yang hebat sekalipun, yang sudah di atas diangkat nama juga akan terus menyelongkar karya-karya yg sebaris dengannya, malah di bawah demi mencari dan menambah pengetahuan sembari memperolek kemahiran. Dan tidak sedikit mereka dikritik, dikomen dan masih terbuka demi sebuah lunas mengangkat dunia penulisan.

Maaf. Saya bukan penulis. Jauh sekali untuk menulis sesuatu yg bagus. Tapi sy pencinta tulisan-tulisan yg boleh memberi inspirasi, yg berisi dan aliran cerita yang mencengangkan. Sy mengikuti buah tangan orang-orang yg sy rasa hebat untuk direngkuh hasilan mereka. Pun, walau sejauh mana mereka pergi, jarang saya dengar mereka mewar-warkan yg tulisan mereka yg terbaik. Tidak terlawan sesiapa. Mereka; matang sementelah masih sama-sama merapat, mendokong yang sama-sama mahu ke depan.

Cuma; bila ada yg terasa lebih ghairah mencanang yang dia terhebat melebihi gunung, maka sy rasa itu sedikit jelek. Sederhanalah. Bila riak timbul, azam dengan ujub samar bezanya! Kadang-kadang, yg ditinggi-tinggikan tidak berapa pun isinya. Mungkin kerana sibuk mendabik, mengangkat diri, dia hilang masa menghayati dan mencari inspirasi pengalaman yang lain.

Tulislah wahai penulis. Hasilkan karya yg artistik, seni sastera yang digauli indah cerita-cerita sejarah lewat geografi. Pergunakan fakta-fakta Sains demi sebuah perjalanan yang penuh debar lagi mencengkam. Ilmu-ilmu agama yang diteroka dan dikisah cerita cinta yang luluh; bukan yang biasa picisan. Sy akan terus ikuti. Selagi hayat di kerongkongan!


Saturday, July 25, 2009

Inspirasi

Saturday, July 25, 2009

Dalam hidup, pasti kita ketemu sesuatu yang mengagumkan. Atau menjengkelkan membuatkan persekitaran tidak enak. Atau sesuatu yang menghiburkan; memudarkan yang rawan dan ruwet jadi lebih terang.

Pasti ada saat yang menyukarkan, rasa payah diuji dengan keadaan yang menyulitkan. Kadang-kadang ada fitnah yang disebar padahal situasi tak seperti digambarkan. Malah tidak ada sekelumit pun RASA itu datang seperti dibesar-besarkan. Tapi; manusia mungkin mereka rasa dapat membaca hati orang dengan benar-benar; maka terus membuat telahan dan bersorak suka menyebar cerita. Biarlah, kalau itu menjadikan mereka lebih yakin dan seronok dengan tindak-tanduk, dengan mata tunak mengotorkan maruah orang. Maka; sekarang lebih baik diam daripada taksub banyak berkata-kata. Dan terasa benar-benar mahukan persekitaran yang baru dan lebih menyegarkan.



Saya juga; manusia dhaif yang kadang-kadang mengkritik padahal manusia itu saya tahu tidak sempurna. Lupa pada taklif yang dipundak; malah terasa kita sempurna maka berlebih-lebih mencela orang. Dan saya tahu benar benar; sy bukan manusia baik.

Saya sebenarnya tidak suka menyebar atau membesar-besarkan libang-libu hati atau berkisahkan perasaan yang itu untuk santapan umum. Malah; cerita hati atau peribadi adakala hanya perlu jadi jihad dalam diri.

Terasa hari ini sy mahu meluah rasa. Bohonglah kalau kita kata tidak pernah bertemu dengan orang yang seluruhnya membuat kita kagum. Lupakan dulu soal lelaki atau perempuan. Skop hidup lebih jauh daripada itu. Halawah hidup diraih bukan hanya berlegar cerita cinta sahaja.

Setiap hari terselit cerita yang macam-macam, tambah sy suka meraih cerita perjalanan orang yang pernah tersadung; jadi hebat besar akhirnya. Cuba cari susur leluhur cerita J.K Rowling; janda yang gagal besar dalam perkahwinan. Miskin dan hanya berjalan kaki ke mana-mana. Tempat menulis hanya sebuah kafe yang tidak banyak membantu memberi persekitaran enak. Bertemankan bayi di sebelah yang tertidur, secangkir kopi dan segelas air; dia memaksa diri menulis kerana tempat tinggal terlalu sempit dan dingin, tidak memungkinnya mencari inspirasi. Dengan rasa simpati yang amat empunya kafe; dia dibenar menulis di situ.

Dengan susah perit hidup; maka dia terkenal gah di dunia penghujungnya. Cerita Harry Potter diilhaminya sebelum menikah; saat perjalanan terbantut selama 4 jam dari Manchester ke London. Saat menunggu meneruskan perjalanan; dia terpandangkan sapi yang tidak pernah disangka yang akan melorongkannya menjadi sebaris penulis terkenal di dunia. Wujud cerita Harry Potter yang jadi kegilaan; mungkin kedua selepas Lord Of The Rings. (pendapat peribadi saya).

Pernah dalam perjalanan hidup yang jiwanya seperti remaja lain; sy menyusuri novel-novel yang lebihkan rasa hati. Cerita cinta tunak yang indahnya sekejap; kesannya sementara. Isinya kosong; maka layak digelar picisan. Saya tinggalkan semua itu.

Sebelum itu; pernah membelek-belek koleksi abang; seluruhnya mungkin rak-rak almari penuh dengan novel-novel sasterawan negara mahupun karya falsafah Barat. Selain buku-buku architecture dan interior design. Kemudian, sy didedahkan dengan tulisan-tulisan penulis muda sekarang. Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Fahd Razy dan yang lain. Penulis yang rencam kerjaya; doktor, engineer, lecturer dan diketemukan dengan hobi yang sama.

Kerjaya yang di luar bidang penulisan; pun masih mampu meraih ruang menulis cerita yang padu. Berisi, matang, mantap dan menarik. Itu yang boleh sy luah pendapat.

Mungkin antara yang sy pernah kagumi juga, seorang anak muda itu. Lama dulu. Sangat manis tingkahnya, baik tutur kata dan menghormati orang. Punya peribadi yang bersih, selebihnya mungkin kita boleh katakan dia merendah diri walau persekitaran dan latarbelakang hidup memungkinnya untuk merasa lebih. Punya wawasan jauh ke depan. Maruah diri yang dijaga dan cita-cita yang jelas dan nyata, juga meluang masa berhibur dan bersosial dengan teman-teman; membuatkan dia disenangi ramai. Anak muda yang layak dikagumi; hampir 6-7 tahun lalu. Tentunya; dia punya kekurangan, pun keperibadian menutup kelemahannya. Anak muda Islam yang jarang ditemui; malah sukar sekali melihat yang sepertinya. Berpendidikan bukan di bidang agama, tapi pasak tunjang tingkahnya mencerminkan dia menitikkan urusan Tuhan. Komited dalam mencari ilmu. Dia layak dikagumi dan diberi penghormatan. Dipuji dan diambil contoh lebih-lebih lagi. Sampai ke hari ini mungkin sy jarang bertemu dengan orang sepertinya. Ada; tapi amat jarang.


Mungkin; pandangan peribadi kita berlainan. Tidak semua di pandangan kita menarik, di mata orang juga ada istimewanya. Jadi, jangan mudah membuat telahan awal. Tuhan mengurniakan kita dengan pelbagai rasa dan mata hati. Lain dan tidak sama. Maka kita ikut rasa dan naluri sendiri.

Apa pun; moga Tuhan menjaganya dengan inayah dan redha yang besar. Tidak memungkinnya tersasar dan terpesong ke lorong salah.

Barakallahufik.




Sunday, June 21, 2009

Ke Mukah

Sunday, June 21, 2009

Sy ke Mukah. Berkursus tentang Kemahiran Proses Sains. 6 jam setengah perjalanan dari Kapit. 3 jam merentas Sungai Batang Rajang, kemudian 3 jam setengah melalui jalan darat dari Sibu ke Mukah. Perjalanan ke Mukah yg menyukar dan menyakitkan badan di tengah-tengah ladang. Berbatu-batu, berlubang-lubang setiap inci jalan. Merantau seorang diri yg kadang-kadang agak bosan; menambah keinginan mahu cepat-cepat sampai.

Saya sampai di Mukah jam 6 petang. Mencari bilik yang sudah ditempah kawan di Mukah Inn dan bergegas mencari kedai makan milik yang Islam. Di sana soal makan tidak susah. Mukah tidak seperti yg sy gambarkan. Dan jauh lebih baik dari gambaran sy. Terasa selamat, kedai makan halal merata-rata, agak tenang dan Mukah sebenarnya adalah bandar Melanau. Terkenal dengan Pesta Kaul, hebat dengan cerita umai yang sedap, makanan laut, sagu, tebaloi dan orang Islam ramai.

Petang itu di kala menanti makanan siap, sempat mata menarah sekitar kedai makan. Ada awan kelam kelabu yang hampir Maghrib. Ada tauke-tauke kedai sibuk menarik pintu yang sana sini berkeriut. Awan makin hitam merumbu di dada langit. Bandar makin sunyi. Pun, di situ tidak terasa mengancam atau terasa membahayakan walau sekitar makin lengang. Dari jauh melihatkan masjid besar dan orang-orang yang agak mesra, menenangkan jiwa. Tidak seperti di sesetengah tempat, di kala hampir malam keadaan sudah makin tidak selamat. Yang mabuk mencari peluang, yang jahat menanti masa mencerkup mangsa. Gara-gara berkursus, pernah sy diganggu yang mabuk. Cemasnya usah dipersoal. Tapi itulah yang makin mencorakkan pengalaman. Perlu bersedia meneroka wilayah yang asing dari pengalaman walau sekejap-sekejap datang di kepala peristiwa yang tidak patut.

Apa pun; ke sana banyak pengalaman diraih. Ramai kenalan cikgu2 serata Sarawak. Orang Semenanjung juga merata.

Kursusnya singkat. Hanya sehari. Dari pagi hingga ke petang. Pengisiannya padat. Dan malamnya, Cikgu Iqmal dan isteri yg pernah mengajar di Kapit belanja saya dan teman makan-makan. Macam-macam. Dan dibekalkan juga ikan kering hasil usaha anak Mukah dibawa pulang ke Kapit. Umai di sana sangat sedap. Pernah menjamahnya sebelum ini, tapi di sana lebih membuka selera. Juadah makannya juga enak, pendek kata soal makan di sana tidak perlu risau.

Dan..di sana sy temui sesuatu yg manis. Jarang ditemui. Atau mungkin boleh dikata tidak pernah. Pun; sesuatu itu berlaku atas urusan Allah. Itu-sy ingat.

Walau tidak sempat menyeluruhi kawasan Mukah, tapi banyak pengalaman di sana. Selalunya, kenangan terbaik bukan dirakam dengan gambar, tapi yg melekat di hati. Lama. Dan kekal.

Apa pun, bila kembara usai; pulang kita ke leluhur yang menanti dengan gabukan hari-hari yang adiwarna. Walau pengalaman ada pahit dan yang manis, tentunya -berisi. Moga cahaya yang sedikit itu mencerlang di hati.



p/s: credit to ndaminoma wordpress 4 the images...





Monday, May 18, 2009

...Kembali...

Monday, May 18, 2009

Dulu. Saya benar2 nekad berhenti berblog. Menulis atau apa saja berkaitan penulisan di maya. Buat apa menulis lagi kalau cerita teman2 boleh mengisi luang. Cerita yg luas, jauh dan tak bersempadan yg dikongsi cukup banyak mengajar. Kata pesan teman2; sy perdiar walau sy tahu berblog salah satu cara mengisi senggang di sini. Jauh di pelusuk Sarawak. Selain bertamu di depan tv dan keluar mencari aiskrim di lewat sore. Di kala kerja menjadi tidak sibuk.

Sy tekad. Berhenti menulis dan sekadar menjamu mata dan halwa hati menerobos cerita sahabat2 lama. Cukup hampir 5 tahun sy berblog. Menyeruak cerita mentah seakan anak2 yg tidak matang. Mungkin ada yg meluat akan cerita bosan yg menjengkelkan. Tapi percayalah; liku hidup kita tak sama. Duri dan dahannya bercabang kadang2 tidak mengikut arah yg kita rancang. Dan pasti, sy bukanlah manusia yg matang dalam berdepan dengan dugaan hidup. Sy tidak cukup dewasa dan mentah dalam banyak segi. Sy manusia penuh khilaf; kekurangan malah dhaif pemikiran.

Mungkin sy dikira sudah ludah, maka jilat balik.

Tapi; ada yg berbuku minggu ini maka sy membuka blog baru. Lantaran terkilan kerana ada sesetengah pihak yg membuat sy kesal.

Sy tidak marah kalau sy dipersalahkan atas kesalahan diri sendiri. Sy tidak merungut kesal kalau memang sy dikata tidak terbuka dalam banyak hal. Atau dikata tidak matang dalam menyelesai masalah. Tapi sy terkilan andai dipersalahkan atas kesalahan org lain. Kesal andai sy terang-terangan dibebankan dengan tanggungan yg sepatutnya digalas org yg hebat membela diri. Apatah orang itu hanya beberapa bulan kita kenal dan baru dalam persekitaran untuk dinilai itu ini.

Kadang2 kita diam untuk bersabar. Diam untuk mengelak daripada bertelagah. Diam untuk mengharmonikan keadaan. Diam lebih baik kalau kata2 mencemarkan maruah yg lain. Diam tidak bererti kita tidak bijak mentafsir keadaan. Pun; sabar manusia ada sempadan.


Itu cerita di sekolah yg macam2. Bertahun2 kita akan mengenal mana sahabat yg sanggup bermanis muka di depan, mencela di belakang; juga teman yg baik pekerti sanggup dijadikan tempat meluah dan penghibur yg lara. Juga ada yg mengangkat diri sendiri sekaligus menjatuhkan yg dianggap rendah dan lemah. Dan barakahlah dirimu teman2 yg sedia mengharung hidup dengan budi yg baik.

Makin berdetik hari, makin banyak pengalaman dikaut. Pun, yg sy pasti; jalan kita bukan hanya cerita yg manis2, tapi pahit2 juga. Kadang2 hidup penuh paksaan. Dipaksa melakukan walau jiwa memberontak enggan. Wajarkah yg gila minum teh disua2 terdesak minum kopi yg akibat untuk diri sudah dijangka awal? Yg gemar milo dihentam2 memaksa meneguk nescafe?

Minat dan kecenderungan orang tidak sama. Tidak semua orang suka menari, melata menyusun langkah berayun mengikut gerak. Ada yang suka menjelajah meneroka jauh ke pelusuk. Ada yg tangkas bersukan, ada yg suka mencari jiwa kemanusiaan; menggugah diri menyelami cerita hidup anak2 susah papa kedana. Dan cerita bermakna dalam hidup sy ialah mengenal rentak hidup anak2 jauh di pedalaman. Bukan hanya cerita Iban atau anak2 bumi Kenyalang, tapi terselit juga cerita anak2 orang asli Grik, Perak. Mengenal mereka tidak lama, tapi membuka di ruang hati sy yg mereka manusia istimewa untuk diteroka. Unik dan misteri. Cerita mereka yg sudah sy panjangkan di blog lama.

Mereka anak2 orang asli Perak yg mendengar kata, mungkin senang dibentuk disiplin berbanding di sini. Cerita2 mereka yg rencam; cerita ayah dibaham harimau di hutan banat. Cerita pantang larang masuk ke hutan, cerita yg mereka menjamah ayam hanya sekali sekala. Cerita yg kampung sentiasa dikunjungi gajah liar. Betapa; mereka kain putih yg di tangan kita tercorak warna.

-Tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Hari Guru rasanya.

 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket