Monday, December 20, 2010

Kartu Buat Kalian

Monday, December 20, 2010

Mencongak. Usia saya sudah hampir menginjak 28. Itu pun- entah sempat entah tidak merasainya di tahun depan. Apalah yang ada pada saya, apalah yang saya pernah beri, apalah yang pernah saya tebari, dibandingkan usia setua ini. Malah; saya selalu berasa yang sudah ketinggalan 10 tahun ke belakang. Berasa ditinggal-tinggal waktu yang makin menjauh, sedang saya tercungap-cungap mengejar. Mengejar usia yang jauh ke hadapan, tapi diri masih lagi ketinggalan.

Orang kata apalah ada pada usia. Usia tidak mencerminkan seseorang. TIDAK. Usia mengajar kita menghargai masa sebenarnya. Usia menggerakkan kita mengejar sesuatu yang berharga. Mengejar pahala, mengejar impian, mengejar cita-cita, bahkan mengajar kita untuk tidak duduk sahaja. Mengajar kita menimbunkan kebajikan dan amal ibadat. Mengajar untuk kita lebih dalam menetapkan sasaran. Seandainya kita pergi sebelum mencapainya, sekurang-kurangnya kita menapak hampir ke destinasi dengan semangat yang membusung. Biarpun rebah di pertengahan jalan; tapi biar rebah itu rebah di hujung usia di dalam perjalanan.

Berlari-larilah mencapai sesuatu seiring masa. Bila orang kata, usia tidak melambangkan pengalaman dan pengetahuan serta kemajuan seseorang, maka dia sebenarnya mungkin bertemu dengan orang yang hanya menguis-nguis masa, melilau-lilau teroleng-oleng mengitari usia. Tidak perlu jauh menuding-nuding yang lain; saya berbalik dulu pada diri saya. Saya sebenarnya banyak membazirkan masa. Saya dhaif kemahiran. Saya kekurangan semangat mengejar impian. Sungguh. Saya seolah-olah ketinggalan sepuluh tahun ke belakang. Dari banyak segi. Untuk bergerak jauh kita perlu lihat yang langkahnya besar. Dan tentunya terlalu ramai teman-teman sebaya yang sudah jauh ke depan. Terlalu jauh. Dan saya mahu berusaha lari jauh ke depan. Bukan menjadi apa adanya mereka; itu impian kanak-kanak yang belum baligh. Tetapi kita berusaha ke depan dengan bermatlamatkan sasaran kita sendiri. InsyaAllah.

Tadi. Saya belek semula simpanan-simpanan lama. Saya jumpa diari 2003. Betapa jauh sudah saya dari usia ketika itu. Dan itulah satu-satunya diari terakhir dan saya hampir-hampir lupa adakah sebenarnya diari yang ditulis sebelum-sebelum itu. Mungkin juga ada; tapi itu pun mungkin hanya ditulis beberapa helai kemudian dijadikan autograph.

Surat-surat teman sekolah rendah, sekolah menengah dan kad-kad tidak pernah saya buang. Membesar di persekitaran sekolah perempuan sedari umur 7 tahun hingga menginjak remaja 15 tahun, banyak kenangan persahabatan bersama teman-teman yang berjujut di hati. Titipan khabar yang mengeratkan lagi tali sahabat yang ketika itu sekejap khali sekejap segar. Cerita-cerita penghangat semangat menghadap peperiksaan, juga sambungan cerita-cerita dura, kisah-kisah suka dan kata-kata motivasi. Teman-teman yang ketika itu erat ikatannya walau tika ini mungkin sepi menghala tuju hidup masing-masing. Pun; saya rafakkan doa.

Terima kasih kerana kita dipertemukan Tuhan dengan pelbagai cara dan jalan. Mungkin ada yang hadir mencatat duka, lumrah hidup semestinya. Di mana pun kalian wahai teman-teman yang pernah membina ikatan, sungguh saya minta maaf kerana keanak-anakan saya dalam melayari persahabatan. Sangat saya kesali sikap saya yang tidak matang.
Cerita-cerita lama yang kusam, ceria malah yang bahagia menyandar-nyandar; saling bertindih menunggu untuk dimuhasabah. Isi diari, tulisan tangan teman-teman lewat surat bertahun-tahun dulu; melarik senyum saya. Maaf adakalanya masalah teman-teman yang mahu dikongsi rasa, saya hanya pandai menelinga. Jika ada rengus dendam yang membengkak; mohon dimaafkan kesalahan-kesalahan saya. Jika ada budi; percayalah sangat ampuh ditanam di hati saya dalam-dalam.

Dan saya maafkan segala yang khilaf, malah yang mencarik hati. Mohon juga dimaafkan salah laku dan ketidak adilan saya.

Selamat mendepani hidup yang pancarona wahai teman-teman!

Thursday, December 9, 2010

Pergilah Dandelion!

Thursday, December 9, 2010

Cara setiap orang menyebarkan sesuatu tidak sama kaedahnya. Seseorang berbuat baik dan beramal juga variasi coraknya. Maka wujudlah rencam pekerjaan; peluang berbudi yang pelbagai dalam berkhidmat kepada yang lain. Maka patut kita menghargai sekaligus menghormati watak-watak dan jalan yang dipilih yang lain dalam menjadi hamba Allah. Bukan memperkecil atau memandang orang lain tidak menyumbang asa.

Dulu, semasa saya rajin menyinggah dan menelusuri cerita-cerita orang di zaman bergelar pelajar; pernah saya menjadi pembaca setia penyebaran ilmu-ilmu Encik Jiwa Rasa di blognya. Mengaguminya sebagai seorang yang sangat rajin menjejak ilmu dan dia menghadam pula pengetahuan yang dibaca kepada orang sekitar; banyak saya belajar daripadanya. Meskipun dari jalan maya dan dia sendiri tidak pernah tahu. Pernah juga sekali dua saya meninggalkan jejak meluahkan kebaikan penulisan-penulisannya. Rasanya ramai yang pernah ke blognya jika anda seorang peminat buku.

Juga sering saya melumat cerita-cerita kembara seorang anak muda blogger yang berkelana di sebanyak 46 buah negara. Jalan dan ceritanya bukan kosong; dikaitkan dengan sejarah setiap tempat dan mengaitkan kita sebagai khalifah. Rutin hari sebagai pelajar perubatan, mencari luang pula mengembara; itu sudah biasa benar kita dengar. Tetapi meluah diari kembara dan dihubungkan pula dengan isi yang bermakna; malah memandu kita ke arahNya; tulisannya menjadi antara tulisan-tulisan yang sentiasa disambung baca.

Hari ini. Saya tatapi cerita hidup sahabat yang hampir 12 tahun berkenal mesra; Faezah di ruangan blognya. Dia catat sesuatu di situ. Terima kasih. Mengenalinya semasa di MRSM; punyai watak yang matang sedari umur remaja, gigih dan tidak putus semangat. Sekarang hampir menyudahkan Sarjananya mendalami biologi cacing di samping aktif dalam dunia persilatan hingga ke negara China. Dan saya mendoakan dia menamatkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Selepas kami terpisah dan menyambung arah ke kolej matrikulasi yang berlainan; dia rajin mengirim titip khabar untuk 4 orang sahabat dalam satu warkah. Lalu dipos dan kami bukan hanya dapat membaca pesan untuk diri, bahkan sekaligus menyelami rentetan cerita dan ayat-ayat penerang kepada sahabat akrab yang lain.

Itu cerita 10 tahun yang lalu. Dan kami sekarang punyai jalan hidup sendiri, kerja yang berlainan bidang, corak hidup yang berlainan duga, cabang mencari pahala dan menyumbang khidmat untuk orang lain mungkin berlainan jalan; tapi tidak akan lupa tali yang mengeratkan kami suatu waktu dulu. Ukhuwwah.

Sekarang. Hampir penghujung 2010. Katarsis yang bergolak bermacam warna. Kita pergi. Kita pulang. Kita pergi lagi untuk sesuatu yang berintipati.

Dan pergilah mengikut jalan yang kita pilih asal tidak salah. Minat, kecenderungan, sifat orang tidak perlu kita gali dan memaksa mengikut jalan kita. Cuma sikap yang terpesong dalam meneruskan kecenderungan itu yang perlu dibaik pulih. Kadang-kadang kita ghairah mencanang kesukaan kita banyak faedahnya dan dikait-kaitkan dengan jalan Islam, sekaligus mengatakan apa yang dibuat orang lain tidak menyumbang kepada sesuatu yang bererti kerana dengan hanya jalan yang dipilih berlainan rentak. Dan ingat jangan sesekali memandang rendah orang lain di sekitar tidak menyumbang perkara bermakna. Kita sebenarnya belajar sesuatu daripada setiap orang; saya petik nukilan Ustaz Hasrizal;


“Mencari jalan untuk membantu diri sendiri 1000 kali lebih rumit berbanding membantu orang lain”


Pergilah melata ke mana sahaja. Pergilah ke mana yang anda suka. Asal tahu akar umbi diri. Tunjang yang perlu dipasak kuat di dalam diri. Mungkin pernah dulu saya kisahkan pengalaman diajak seorang teman mencium tanah tanda berdagang di tempat baru. Pengalaman yang membuka akal kita bahawa jauh dari persekitaran yang kita lahir dan membesar; banyak lagi kisah togel dan menyimpang yang belum kita tahu yang menjadi warisan saudara seagama.

Sebab itulah mungkin ada yang berkata hidup di tempat yang dugaannya lebih besar dan di sekelilingnya mencabar keimanan; akan melahirkan orang yang lebih kuat dalam mendepani dugaan berbanding orang yang sentiasa dilimpahi persekitaran yang aman dan dugaan-dugaan kecil. Pun; kalau orang itu kuat imannya dalam menepis petaka malang yang menjarah diri. Saya tabik teman-teman yang berdagang mencari ilmu di tempat-tempat yang besar cabarannya; tapi balik ke sini dia masih orang yang berpegang pada prinsip diri bahkan menjadi lebih hebat.

Jadilah seperti dandelion. Dihembus orang terbang bebas ke pelusuk, akhirnya tumbuh menjadi yang baru; lebih baik dan penuh pengalamannya. Sama seperti kita; atau sama seperti agama kita; disebar jauh ke China; disusup masuk ke hati maharaja China bukan melalui pertumpahan darah, tetapi kerana luhur pekerti dan tingginya budi rombongan umat Islam di bawah pemerintahan Khalifah Usman b. Affan. Kerana bagi maharajanya; mana mungkin orang yang baik datang dari ajaran yang jahat. Maka Islam akhirnya dibenarkan tersebar luas ke tanah jajahan China.

Saya tinggalkan sesuatu di sini.

Dan mungkin tidak akan menulis untuk suatu masa untuk urusan-urusan yang lebih penting. Kerana kita juga perlu menguruskan keperluan hidup untuk terus hidup. Mari kita belajar dari kehidupan yang sebenar. Dan kita belajar hidup daripada setiap orang di sekeliling kita.




Wednesday, December 8, 2010

Novel Hidup

Wednesday, December 8, 2010

Di awal-awal cerita “Black Mamba Boy”, saya menitiskan air mata. Rupanya saya tidak salah pilih. Terpandangkan novel ini di rak buku sekitar Borders, Queensbay, Penang beberapa minggu lepas; saya tertarik untuk membeli. Tidak pernah mendengar saranan sesiapa, juga tidak pernah membaca mana-mana review blogger tentang novel ini, tidak pernah terdengarkan hebatnya nama penulis, juga tidak pernah sekali pun mendengar tajuk buku ini. Tapi sinopsis dan anugerah yang diterima buku ini yang membuatkan saya tidak teragak-agak membeli. Jalan cerita yang mungkin istimewa bagi saya.

Kembara anak Somali yang menderita di tanah Aden, kehilangan ibu yang satu-satunya menjadi permata, akhirnya dia mengembara merentas benua sampai ke Britain di awal umur yang sangat muda. Kisah benar yang ditulis sendiri oleh anaknya untuk tatapan dunia. Amat memberi inspirasi. Mengagumkan.

Pulangnya,saya mencari review Black Mamba Boy di internet. Nyata tiada blogger yang membuat komen. Kecuali blog-blog dan web-web negara luar yang banyak menyatakan pendapat tentang cerita anak Somali ini. Mungkin ini buku baru di Malaysia. Atau saya yang tidak menemui blog-blog yang memperihalkan kisah pengembara gigih ini. Atau lebih teruk lagi; mungkin saya yang ketinggalan.


Saya tatapi review orang-orang luar, ada yang meletakkan buku ini sebaris dengan The Kite Runner. Ada yang memuji dan mengakui ia sememangnya layak diberi anugerah, ada yang memberi kritikan dan macam-macam hujahan ekspresi pendapat masing-masing.

The Kite Runner tulisan Khalid Hosseini memang saya akui sangat menjadi tatapan ramai. Luar biasa. Tersenarai antara buku-buku New York Best Seller dan sangat laris dibaca di seluruh dunia. Karya perdana Khalid yang latarnya seputar Afghan. Mengundang tangis, menusuk hingga ke hati pembaca-pembaca yang mengerti nilai kemanusiaan. Juga lagi bukunya yang menjadi pujaan pengikut-pengikut buku; A Thousand Splendid Suns. Masih merangsang sebak yang dalam, menjadi perbualan, berisi, bukan sekadar karya biasa malah menjadi cerita besar bagi orang-orang yang menghayati.

Cerita-cerita mereka di atas mungkin tidak seperti buku-buku saspen Sherlock Holmes, tulisan Arthur Conan Doyle yang agnostik (bukan seorang yang percaya pada agama dan bukan seorang yang tidak percaya pada agama); bukan cerita-cerita dunia epik yang misteri, jadi bacaan ramai orang (termasuk saya). Latarnya seputar dunia realiti, cerita yang mereguk kebahagiaan anak-anak yang masih putih. Tapi diolah sehingga menjadi tarikan; malah diingat-ingat orang.

Membaca novel-novel yang mengesankan serta mendedahkan kita kepada pergolakan hidup dunia luar terutamanya umat Islam, mengingatkan saya pada kisah seorang teman baik; jauh terpisah dek Laut China Selatan. Seorang yang boleh menjadi contoh, teladan lagi menginspirasikan. Anda boleh baca kisahnya di sini.

Betullah. Semakin lama usia kita, semakin banyak yang kita jumpa. Sesuatu yang menjadi pengalaman; malah pengajaran. Kendiri hidup yang meluaskan paradigma kehidupan itu sendiri. Maka; terus..terus..teruslah menghayati hidup yang sukar dan biar jatuh, tetap jalan ke depan.


Sunday, December 5, 2010

Kaki.Kasut.dan Kritik.

Sunday, December 5, 2010

Hidup seumpama kaki. Ke sana. Ke sini. Ke sisi. Ke depan. Ke belakang. Begitu juga tulisan kita. Apa yang kita tulis, yang manis, yang payau, yang pahit, yang tajam, akan sampai ke tempat yang kadang-kadang kita tidak pernah jangka. Cuba kamu google tulisan-tulisan yang pernah kamu tulis; tentu mengheret kamu sampai ke tempat-tempat yang kamu tak pernah jejak. Biasa cuba? Itu saya pasti.

Saya cuba ini. Begini. Dulu-dulu; dalam tahun 2002 atau 2003 saya rajin bertandang ke shukur.com (sebelum diubahsuai menjadi shukur.org). Foundernya jika tidak silap bekas pelajar matrikulasi yang sama dengan saya. Portal itu mungkin dibukanya setelah memasuki alam universiti. Saya gigih menulis-nulis komen di situ. Bertukar cerita berkitar hal ehwal yang macam-macam. Berkongsi minat berputar nuansa hidup dengan ahli-ahlinya. Di situ ada disediakan ruangan karya. Lalu. Saya mencuba-cuba mengarang. Kerana saya meminati dunia penulisan. Hati Yang Tercarik. Itu cerpen pertama saya dalam hidup. Betapa teruk, mungkin mengundang ketawa barangkali; tapi ramai yang mengikuti ceritanya. Pun, itu tetap hasil buah fikiran saya. Hadiah daripada perahan kepala saya yang masih anak-anak akalnya. Kemudian, usai mengemaskini cerita dan menampalnya di shukur.org; saya cetak dan simpan untuk simpanan peribadi. Sekadar beberapa orang kawan USM membacanya. Dan cetakan itu tidak terusik sampai ke hari ini. Kerana pada saya, ia sangat memalukan. Cerita yang keanak-anakan. Cerita yang boleh diperdiar barangkali.

Kemudian. Saya lebih terarah mengisi masa dengan menulis cerita yang dipelopori oleh ahli shukur dalam ruangan “Jom Sambung Cerita”. Saya bersama ahli yang lain menyambung cerita demi cerita sehingga terhasil cerita yang bercampur aduk gaya tulisannya; kerana berlainan penulis. Menarik. Idea yang dicanai ahli-ahli lain kreatif. Menghiburkan saya. Masing-masing punya variasi cabang hala tuju ke mana cerita itu dibawa. Kita berhajat ke sana bawanya, tapi yang lain lebih awal mencorakkan cerita itu jadi begitu. Maka, kita ubah idea kita dan pimpin cerita itu mengikut kesesuaian. Ini mungkin boleh kita hubungkan dengan latar hidup kita (tidak termasuk hal-hal keimanan atau berkaitan yang tunjangnya satu). Rancangnya lain, tapi Tuhan mengarah kita mengikut jalan yang dibawaNya. Maka, kita perlu beradaptasi dan mencorakkan jalan yang bukan kita pilih awalnya dengan khuluk yang baik akhirnya.

Cerita demi cerita saya baca. Blog demi blog saya pergi. Pengaruh kawan membawa saya ke tulisan pemblog-pemblog yang saya kira amat baik isinya. Juga menarik.

Sehinggalah tamat zaman universiti, saya mula menulis cerpen. Untuk kali ke dua. Saya mencari bahan, membaca demi membaca (kerana menulis lebihnya datang dari membaca, melainkan mahu memaparkan sesuatu yang ‘kosong’). Saya puas walau tidak hebat; tapi sekurang-kurangnya saya banyak mengetahui macam-macam dalam mengusahakannya. Anda boleh klik di sini.
Saya cetak. Saya simpan. Saya menulis lagi luahan rasa semasa tinggal di Kapit, Sarawak. Hanya bahagian-bahagian awal saja saya paparkan. Lalu saya cetak. Dan simpan lagi. Hingga hari ini.

Sehinggalah petang tadi. Terdetik di hati saya mahu layari shukur.org semula. Saya taip dan cari. Tiada. Maka, saya taip yang lain. Lalu setelah 6 tahun melupakannya; saya akhirnya menjumpai Hati Yang Tercarik semula. Saya menjumpainya di sebuah blog. Saya tergelak. Apakah cerita saya yang keanak-anakan itu ditampal di blog orang? Mengapa cerita yang saya anggap picisan itu disua-sua lagi? Kalau ikutkan, mahu saja saya lenyapkan cerita itu.


Saya cari lagi. Ada. Di blog seorang lelaki. Cumanya, cerita zaman angan-angan saya ini disebarkannya sekerat. Tidak habis. Tanpa penulis. Tanpa tajuk yang betul. Habis beberapa bab, ditulisnya begini:

“Siaran ini terpaksa ditamatkan kerana penulis ketandusan idea untuk menyambung ceritera ini. Sekian. Trimas -Penulis”.

*Diplagiat oleh penulis blog

Haih. Tidak perlu saya nyatakan siapa. Mungkin sampai ke tangannya sudah hilang tajuk dan nama samaran. Juga hilang penghabisan cerita. Macam-macam. Banyak rupanya cerita yang di luar pengetahuan kita. Kisah-kisah yang membuatkan kita terduduk sejenak. Atau mungkin Tuhan mahu kita berfikir. Atau kita sebenarnya terbiasa buat menyalin tampal tidak menjelaskannya dari sumber mana maka Tuhan memberi ingatan. Atau lebih kejam lagi; ada yang diplagiat, mengaku hak milik. Itu -mungkin jarang barangkali.

Cerita ini kecil. Tapi besar impaknya kepada hidup. Hidup yang ibarat kaki. Kita yang membawa sepasang anggota berharga itu. Kita yang memakai kasut dan menghala kaki itu ke sisi mana. Tidak apa dari mana kaki itu datang; yang penting ke mana kaki itu dibawa pergi selepas ini. Betul,kan?


Jadi tuan punya kasut, ke mana mahu selepas ini??



*credits to http://www.theinternetjournalist.com/ (the image)




Saturday, December 4, 2010

Jangan Berhenti Bercita-cita!

Saturday, December 4, 2010

Dulu. Tercunggit di hati saya mahu terus membaca tulisan-tulisan Andrea Hirata selepas Tetralogi Laskar Pelangi (Sang Pemimpi buah tangan paling sy gemar). Tulisannya berhantu; menggamit-gamit saya menyusup terus ke dalam ceritanya. Walau kadang-kadang tidak logik, malah berlebih-lebih. Tapi berlebih-lebihnya itu kadang-kadang membuatkan cerita itu makin menarik. Merangsang ketawa acapkalinya. Dia pandai mencampur adukkan semua rasa dalam satu cerita. Kita dibawa bagai merasainya sendiri.

Awalnya saya teruja dengan watak Lintang, si cilik miskin genius; tapi rupanya si Arai yang lebih menginspirasikan jalan cerita. Walau tunjang utamanya Ikal.
Cerita-cerita buah tangan Andrea mungkin banyak lebih berimaginasi, luar dari kotak realiti kita. Malah jauh dan di luar duga; walaupun cerita dan watak serta latar ada dari kisah benar sekitar hidupnya.

Andrea Hirata; di dunia sebenarnya dia penulis malah backpacker yang berimpian tinggi; seperti isi karya-karya yang ditulisnya. Andrea bercita-cita tinggal di Kye Gompa, desa tertinggi di dunia, iaitu di Himalaya. Graduan jurusan Ekonomi dari Indonesia, kemudian menyambung Sarjana Sains di Paris dan melanjutkan ilmu di universiti di United Kingdom. Meminati Sastera, Biologi, Kimia, Fizik dan Astronomi sehingga terbitnya tetralogi novel Laskar Pelangi yang sarat ilmu.

Sekarang. Ada cerita lain. Cinta di dalam Gelas. Juga Padang Bulan. Hasil fikiran Andrea lagi. Ada kesinambungan dengan watak2 tetraloginya yang terdahulu mungkin. Reaksi rakyat Indonesia yang manis-manis buat saya mahu terus membelinya. Atau paling kurang, memilikinya dulu. Banyak juga buku-buku yang hanya saya beli, belum sentuh ayat pertama pun lagi. Beli, tapi malas melayari.

Ok. Musim hujan sejuk-sejuk begini kita lupakan cerita buku. Makanan panas-panas lebih menarik-narik kita barangkali.
Selamat istirehat!


*maklumat tentang Andrea diambil dari http://andrea-hirata.com/ dan http://www.goodreads.com/

Friday, December 3, 2010

Jalan..Pandang Ke Depan!

Friday, December 3, 2010

Setahun. Bukan. Hampir setahun. Saya tinggalkan dunia meluah kisah di ruang maya. Bermula 2005. Kemudian menemui tanda tamat di hujung 2009. Bertemu titik mula di sepanjang cuti selepas tamat zaman universiti, sehingga cerita-cerita biasa yang diselang-seli dugaan sepanjang mengharung hidup. Cerita hidup saya biasa. Tidak sehebat dan panjang jalannya seperti ramai teman yang cekal tabah mendukung rutin hidup di sini, mahu pun yang melata di negara orang. Yang jauh payahnya berdepan masalah demi meraih yang mahu digapai. Juga tidak layak pula menandingi jalan kisah orang-orang di tanah kita; yang istimewa dijadikan modal bekalan buat pengingat diri. Blog-blog di sekeliling, saya tatapi; yang wajar dibuat pemangkin semangat dan meluas pengetahuan, bukan hanya cerita yang berlegar di sekitar diri sendiri. Bukan untuk bersiduga, lebih-lebih lagi.

Lama saya tidak mengikut kisah blog-blog orang. Dulu banyak blog yang saya kira amat menarik, yang saya ikuti cerita-cerita mereka. Selesa membaca, merangsang minat saya mahu ke penghujung cerita. Kisah-kisah yang mendorong kita untuk melekat, tetapi bukan dengan cara seolah memaksa untuk menatap segala cabang perjalanan mereka. Dikisahkan secara santai, tapi padat berisi. Ada yang menghibur, tapi dalam maknanya menyebar sesuatu. Sehinggalah satu masa saya jarang-jarang ke laman mereka dan menyedari yang panjang kisah hidup yang disusuri dulu-dulu sudah jauh perginya. Sampai ada yang tidak terjejak, hilang dan juga ada berhenti berkisah.

Sayang. Cerita mereka banyak mengajar saya. Menatang saya masuk ke dunia mereka. Renyah. Tawa. Lemas. Bersemangat. Sehingga ada seorang penulis blog itu saya susuri benar-benar blognya, seorang yang boleh digelar ‘avid reader’. Cerita sekitar rutin hidupnya yang unik. Dia melumat jalan hidupnya dengan cara tersendiri. Setiap post blognya tidak panjang, tidak berjela-jela hingga memualkan orang membaca. Pendek. Tapi memadai. Isi yang bererti. Dia pandai mengolah. Muda setahun daripada saya, kiranya tidak silap. Koleksi bukunya sangat banyak, dia berpengetahuan sementelah banyak menggali cerita dan maklumat. Dia meluaskan pembacaannya, dari seremeh-remeh yang dianggap orang, sehingga isu yang besar boleh dibahas. Ada juga kisah-kisah hidupnya yang menyukarkan. Mungkin ketika itu dia bergelar mahasiswi, ditambah perjalanan kisah peribadi yang mungkin ada sedikit kelabu. Tapi simpanan buku-bukunya sangat mengujakan saya. Ditambah saya juga berminat dengan buku. Blognya berubah-ubah. Sehinggalah akhirnya saya dapat menjejak. Dia menyambung sarjana di luar negara. Pun; dia mahasiswi yang tetap komited menulis diari maya.

Itu- satu daripada kisah-kisah manusia. Berlegar di sekitar kita; yang kadang-kadang kita tidak berusaha untuk mencari dan meraih manfaat juga memberi manfaat.

Putaran masa dunia cepat rasanya berlalu. Sudah hujung tahun. Saya mahu tenggelam dalam “Black Mamba Boy” yang belum habis disambung baca. Cerita kisah benar yang menang “ Winner Of The Betty Trask Prize”. Lorong hidup kanak-kanak yang membesar di Aden; kemudian memulakan perjalanan merentas Eritrea, Sudan, Egypt, Palestin dan akhirnya sampai ke tanah Britain dengan berjalan kaki, menaiki unta, lori juga kereta api. Diselitkan juga impak-impak besar Perang Dunia Ke 2 kepada rakyat Afrika Selatan. Satu perjalanan derita hidup yang panjang.

Selamat. Selamat Meneruskan Hidup!



 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket