Hidup seumpama kaki. Ke sana. Ke sini. Ke sisi. Ke depan. Ke belakang. Begitu juga tulisan kita. Apa yang kita tulis, yang manis, yang payau, yang pahit, yang tajam, akan sampai ke tempat yang kadang-kadang kita tidak pernah jangka. Cuba kamu google tulisan-tulisan yang pernah kamu tulis; tentu mengheret kamu sampai ke tempat-tempat yang kamu tak pernah jejak. Biasa cuba? Itu saya pasti.
Saya cuba ini. Begini. Dulu-dulu; dalam tahun 2002 atau 2003 saya rajin bertandang ke shukur.com (sebelum diubahsuai menjadi shukur.org). Foundernya jika tidak silap bekas pelajar matrikulasi yang sama dengan saya. Portal itu mungkin dibukanya setelah memasuki alam universiti. Saya gigih menulis-nulis komen di situ. Bertukar cerita berkitar hal ehwal yang macam-macam. Berkongsi minat berputar nuansa hidup dengan ahli-ahlinya. Di situ ada disediakan ruangan karya. Lalu. Saya mencuba-cuba mengarang. Kerana saya meminati dunia penulisan. Hati Yang Tercarik. Itu cerpen pertama saya dalam hidup. Betapa teruk, mungkin mengundang ketawa barangkali; tapi ramai yang mengikuti ceritanya. Pun, itu tetap hasil buah fikiran saya. Hadiah daripada perahan kepala saya yang masih anak-anak akalnya. Kemudian, usai mengemaskini cerita dan menampalnya di shukur.org; saya cetak dan simpan untuk simpanan peribadi. Sekadar beberapa orang kawan USM membacanya. Dan cetakan itu tidak terusik sampai ke hari ini. Kerana pada saya, ia sangat memalukan. Cerita yang keanak-anakan. Cerita yang boleh diperdiar barangkali.
Kemudian. Saya lebih terarah mengisi masa dengan menulis cerita yang dipelopori oleh ahli shukur dalam ruangan “Jom Sambung Cerita”. Saya bersama ahli yang lain menyambung cerita demi cerita sehingga terhasil cerita yang bercampur aduk gaya tulisannya; kerana berlainan penulis. Menarik. Idea yang dicanai ahli-ahli lain kreatif. Menghiburkan saya. Masing-masing punya variasi cabang hala tuju ke mana cerita itu dibawa. Kita berhajat ke sana bawanya, tapi yang lain lebih awal mencorakkan cerita itu jadi begitu. Maka, kita ubah idea kita dan pimpin cerita itu mengikut kesesuaian. Ini mungkin boleh kita hubungkan dengan latar hidup kita (tidak termasuk hal-hal keimanan atau berkaitan yang tunjangnya satu). Rancangnya lain, tapi Tuhan mengarah kita mengikut jalan yang dibawaNya. Maka, kita perlu beradaptasi dan mencorakkan jalan yang bukan kita pilih awalnya dengan khuluk yang baik akhirnya.
Cerita demi cerita saya baca. Blog demi blog saya pergi. Pengaruh kawan membawa saya ke tulisan pemblog-pemblog yang saya kira amat baik isinya. Juga menarik.
Sehinggalah tamat zaman universiti, saya mula menulis cerpen. Untuk kali ke dua. Saya mencari bahan, membaca demi membaca (kerana menulis lebihnya datang dari membaca, melainkan mahu memaparkan sesuatu yang ‘kosong’). Saya puas walau tidak hebat; tapi sekurang-kurangnya saya banyak mengetahui macam-macam dalam mengusahakannya. Anda boleh klik di sini.Saya cetak. Saya simpan. Saya menulis lagi luahan rasa semasa tinggal di Kapit, Sarawak. Hanya bahagian-bahagian awal saja saya paparkan. Lalu saya cetak. Dan simpan lagi. Hingga hari ini.
Sehinggalah petang tadi. Terdetik di hati saya mahu layari shukur.org semula. Saya taip dan cari. Tiada. Maka, saya taip yang lain. Lalu setelah 6 tahun melupakannya; saya akhirnya menjumpai Hati Yang Tercarik semula. Saya menjumpainya di sebuah blog. Saya tergelak. Apakah cerita saya yang keanak-anakan itu ditampal di blog orang? Mengapa cerita yang saya anggap picisan itu disua-sua lagi? Kalau ikutkan, mahu saja saya lenyapkan cerita itu.
Saya cari lagi. Ada. Di blog seorang lelaki. Cumanya, cerita zaman angan-angan saya ini disebarkannya sekerat. Tidak habis. Tanpa penulis. Tanpa tajuk yang betul. Habis beberapa bab, ditulisnya begini:
“Siaran ini terpaksa ditamatkan kerana penulis ketandusan idea untuk menyambung ceritera ini. Sekian. Trimas -Penulis”.
*Diplagiat oleh penulis blog
Haih. Tidak perlu saya nyatakan siapa. Mungkin sampai ke tangannya sudah hilang tajuk dan nama samaran. Juga hilang penghabisan cerita. Macam-macam. Banyak rupanya cerita yang di luar pengetahuan kita. Kisah-kisah yang membuatkan kita terduduk sejenak. Atau mungkin Tuhan mahu kita berfikir. Atau kita sebenarnya terbiasa buat menyalin tampal tidak menjelaskannya dari sumber mana maka Tuhan memberi ingatan. Atau lebih kejam lagi; ada yang diplagiat, mengaku hak milik. Itu -mungkin jarang barangkali.
Cerita ini kecil. Tapi besar impaknya kepada hidup. Hidup yang ibarat kaki. Kita yang membawa sepasang anggota berharga itu. Kita yang memakai kasut dan menghala kaki itu ke sisi mana. Tidak apa dari mana kaki itu datang; yang penting ke mana kaki itu dibawa pergi selepas ini. Betul,kan?
Jadi tuan punya kasut, ke mana mahu selepas ini??
*credits to http://www.theinternetjournalist.com/ (the image)



0 comments:
Post a Comment