Thursday, December 9, 2010

Pergilah Dandelion!

Thursday, December 9, 2010

Cara setiap orang menyebarkan sesuatu tidak sama kaedahnya. Seseorang berbuat baik dan beramal juga variasi coraknya. Maka wujudlah rencam pekerjaan; peluang berbudi yang pelbagai dalam berkhidmat kepada yang lain. Maka patut kita menghargai sekaligus menghormati watak-watak dan jalan yang dipilih yang lain dalam menjadi hamba Allah. Bukan memperkecil atau memandang orang lain tidak menyumbang asa.

Dulu, semasa saya rajin menyinggah dan menelusuri cerita-cerita orang di zaman bergelar pelajar; pernah saya menjadi pembaca setia penyebaran ilmu-ilmu Encik Jiwa Rasa di blognya. Mengaguminya sebagai seorang yang sangat rajin menjejak ilmu dan dia menghadam pula pengetahuan yang dibaca kepada orang sekitar; banyak saya belajar daripadanya. Meskipun dari jalan maya dan dia sendiri tidak pernah tahu. Pernah juga sekali dua saya meninggalkan jejak meluahkan kebaikan penulisan-penulisannya. Rasanya ramai yang pernah ke blognya jika anda seorang peminat buku.

Juga sering saya melumat cerita-cerita kembara seorang anak muda blogger yang berkelana di sebanyak 46 buah negara. Jalan dan ceritanya bukan kosong; dikaitkan dengan sejarah setiap tempat dan mengaitkan kita sebagai khalifah. Rutin hari sebagai pelajar perubatan, mencari luang pula mengembara; itu sudah biasa benar kita dengar. Tetapi meluah diari kembara dan dihubungkan pula dengan isi yang bermakna; malah memandu kita ke arahNya; tulisannya menjadi antara tulisan-tulisan yang sentiasa disambung baca.

Hari ini. Saya tatapi cerita hidup sahabat yang hampir 12 tahun berkenal mesra; Faezah di ruangan blognya. Dia catat sesuatu di situ. Terima kasih. Mengenalinya semasa di MRSM; punyai watak yang matang sedari umur remaja, gigih dan tidak putus semangat. Sekarang hampir menyudahkan Sarjananya mendalami biologi cacing di samping aktif dalam dunia persilatan hingga ke negara China. Dan saya mendoakan dia menamatkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Selepas kami terpisah dan menyambung arah ke kolej matrikulasi yang berlainan; dia rajin mengirim titip khabar untuk 4 orang sahabat dalam satu warkah. Lalu dipos dan kami bukan hanya dapat membaca pesan untuk diri, bahkan sekaligus menyelami rentetan cerita dan ayat-ayat penerang kepada sahabat akrab yang lain.

Itu cerita 10 tahun yang lalu. Dan kami sekarang punyai jalan hidup sendiri, kerja yang berlainan bidang, corak hidup yang berlainan duga, cabang mencari pahala dan menyumbang khidmat untuk orang lain mungkin berlainan jalan; tapi tidak akan lupa tali yang mengeratkan kami suatu waktu dulu. Ukhuwwah.

Sekarang. Hampir penghujung 2010. Katarsis yang bergolak bermacam warna. Kita pergi. Kita pulang. Kita pergi lagi untuk sesuatu yang berintipati.

Dan pergilah mengikut jalan yang kita pilih asal tidak salah. Minat, kecenderungan, sifat orang tidak perlu kita gali dan memaksa mengikut jalan kita. Cuma sikap yang terpesong dalam meneruskan kecenderungan itu yang perlu dibaik pulih. Kadang-kadang kita ghairah mencanang kesukaan kita banyak faedahnya dan dikait-kaitkan dengan jalan Islam, sekaligus mengatakan apa yang dibuat orang lain tidak menyumbang kepada sesuatu yang bererti kerana dengan hanya jalan yang dipilih berlainan rentak. Dan ingat jangan sesekali memandang rendah orang lain di sekitar tidak menyumbang perkara bermakna. Kita sebenarnya belajar sesuatu daripada setiap orang; saya petik nukilan Ustaz Hasrizal;


“Mencari jalan untuk membantu diri sendiri 1000 kali lebih rumit berbanding membantu orang lain”


Pergilah melata ke mana sahaja. Pergilah ke mana yang anda suka. Asal tahu akar umbi diri. Tunjang yang perlu dipasak kuat di dalam diri. Mungkin pernah dulu saya kisahkan pengalaman diajak seorang teman mencium tanah tanda berdagang di tempat baru. Pengalaman yang membuka akal kita bahawa jauh dari persekitaran yang kita lahir dan membesar; banyak lagi kisah togel dan menyimpang yang belum kita tahu yang menjadi warisan saudara seagama.

Sebab itulah mungkin ada yang berkata hidup di tempat yang dugaannya lebih besar dan di sekelilingnya mencabar keimanan; akan melahirkan orang yang lebih kuat dalam mendepani dugaan berbanding orang yang sentiasa dilimpahi persekitaran yang aman dan dugaan-dugaan kecil. Pun; kalau orang itu kuat imannya dalam menepis petaka malang yang menjarah diri. Saya tabik teman-teman yang berdagang mencari ilmu di tempat-tempat yang besar cabarannya; tapi balik ke sini dia masih orang yang berpegang pada prinsip diri bahkan menjadi lebih hebat.

Jadilah seperti dandelion. Dihembus orang terbang bebas ke pelusuk, akhirnya tumbuh menjadi yang baru; lebih baik dan penuh pengalamannya. Sama seperti kita; atau sama seperti agama kita; disebar jauh ke China; disusup masuk ke hati maharaja China bukan melalui pertumpahan darah, tetapi kerana luhur pekerti dan tingginya budi rombongan umat Islam di bawah pemerintahan Khalifah Usman b. Affan. Kerana bagi maharajanya; mana mungkin orang yang baik datang dari ajaran yang jahat. Maka Islam akhirnya dibenarkan tersebar luas ke tanah jajahan China.

Saya tinggalkan sesuatu di sini.

Dan mungkin tidak akan menulis untuk suatu masa untuk urusan-urusan yang lebih penting. Kerana kita juga perlu menguruskan keperluan hidup untuk terus hidup. Mari kita belajar dari kehidupan yang sebenar. Dan kita belajar hidup daripada setiap orang di sekeliling kita.




0 comments:

Post a Comment

 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket