Hampir enam tahun lalu saya datang ke tempat yang sama. Tanah yang sama. Resort yang sama. Pantai yang sama meski butiran pasir sahaja yang kian bertukar ganti. Enam tahun lalu saya datang sebagai yang mengikuti kursus. Kursus Kepimpinan anjuran kelas KPLI IPSAH kami. Tahun 2006. Kali ini saya datang sebagai salah seorang guru, murid-murid pula yang mengikuti aktiviti di sini. Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR untuk pelajar-pelajar Tahun Enam SKAL 2011 di Pantai Melawi, Bachok. 3 hari 2 malam.
Mungkin sebelum ini ada saya ke Pantai Melawi, tapi bukanlah untuk aktiviti formal. Tahun makin berganti. Kata orang, biarpun kita ke tempat yang sama, dengan orang-orang yang sama, kenangan dulu tidak akan dapat diulang semula. Mahalnya tidak sama. Masih ingat tawa yang acapkali pecah mengisi hening malam di Pantai Melawi beberapa tahun dulu. Kenangan bersama rakan-rakan yang masih bergelar guru pelatih. Penat mengikuti kursus, kami bermain pijak-pijak bayang di gigi air. Setua mana pun orang itu, mereka tetap perlu mencari sedikit hiburan buat menghilangkan tekanan dan bebanan. Memulihkan semula tenaga dan motivasi. Jauh di tengah laut samar-samar cahaya bot nelayan menakluk pandangan. Semilir lembut mengelus-ngelus mendamaikan suasana. Kenangan yang hadir bersama lagu Warisan diselang-seli dengan kocakan air pantai di pagi hari. Basah lencun berendam di dalam laut mempergunakan peluang yang ada setelah penat berkursus. Kenangan yang mungkin sudah lama tidak hadir dimakan tahun, tetapi masih mampu untuk diingat-ingat lagi. Kenangan bersama rakan-rakan KPLI Sains 2006- datang dari berlainan universiti dan latar belakang ijazah sarjana muda, berkongsi segala pengalaman dalam masa setahun dengan sasaran untuk menjadi guru.
Setahun mengikuti KPLI, rencam aktiviti kami ikuti. Berkongsi lelah memanjat dan berkhemah di Gunung Jerai dan itulah sebenarnya buat pertama kali dalam hidup, saya memanjat gunung. Kami sama-sama menjelajah Pulau Pangkor ketika program Bina Insan Guru. Kami diarah mencipta rakit sendiri dan berakit-rakit di tengah lautan, di samping treasure hunt, memasak di tengah hutan menggunakan kayu api dan aktiviti-aktiviti lasak lain yang saya sudah hampir lupa. Dan pada tahun yang sama, kami ke Pulau Pangkor lagi untuk Pendidikan Luar. Aktiviti PL lebih mencabar berbanding BIG. Pertama kali dalam hidup saya, saya disuruh berkayak. Berkayak dari pulau ke pulau. Menterbalikkan kayak dan diri sendiri ke dalam laut dan naik semula ke atas kayak. Pendidikan Luar menawarkan banyak pengalaman ‘pertama kali’ dalam hidup saya. Ketika itulah saya merasai pengalaman snorkelling buat pertama kali. Absailing. Flying Fox. Orienteering. Juga buat pertama kali untuk saya.
Kami turut ditinggalkan di tengah-tengah laut dan dipaksa berenang sendiri ke pantai. Pengalaman pertama kali lagi untuk saya yang tidak pandai berenang. Akhirnya dibantu kawan kerana meskipun sudah penat masih tidak berjaya untuk berenang ke pantai yang masih terlalu jauh.
Ada pengalaman manis di Pulau Langkawi, juga bersama rakan-rakan KPLI untuk mengikuti Kursus Kepimpinan Puteri Islam. Lawatan ke USM bagi program Astronomi, melawat sekolah orang asli di Grik, English Sketch, aktiviti BTN, ROS, praktikum serta kenangan-kenangan dalam aktiviti tidak formal yang dibentuk bersama dalam setahun dengan assignment yang menggunung pada masa yang sama, mengukir banyak rasa. KPLI yang banyak mengorbankan perahan keringat dan kerahan kudrat. Bersama rakan-rakan yang banyak menyumbang asa dan penuh perikemanusiaan.
Sekarang, tahun 2011. Hampir lima tahun saya menjadi guru. Tahun ini saya belajar perkara baru lagi. Kadang-kadang sesak disimpan di dalam dada, terhambur juga keluar kadang-kadang di kala lelah, penat dan di bawah tekanan. Kerana setiap hari pasti kita belajar sesuatu pengalaman. Pengalaman yang bermula dari awal tahun 2007 di Sarawak sehingga di negeri kelahiran sendiri sekarang ini. Pengalaman dalam dunia perguruan saya yang masih mentah. Dan saya tahu tugas hakiki adalah perkara penting sebagai kerjaya yang perlu didulukan, berbanding perkara-perkara yang perlu dikesampingkan. Amanah yang akan mengalirkan hasil rezeki di dalam darah dan ke seluruh tubuh badan kita. Allah Maha Mengetahui segala gerak laku kita di sini, dan manusia-manusia lain yang jauh dari penglihatan kita. Di sana.
“The good you do today will be forgotten tomorrow. Do good anyway.”



0 comments:
Post a Comment