Saya menyukai novel Bumi Cinta melebihi Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Mungkin kerana novel ini dipalut sejarah Rusia di zaman Lenin. Mungkin juga kerana Kang Abik menyelitkan kerakusan Stalin memerintah, maka kita dipandu memahami susur galur perjalanan Rusia di tahun-tahun dulu. Ada juga peristiwa kejam penyembelihan jasad di Sabra dan Shatilla. Sejarah lama yang berdarah, yang diangkat untuk paparan dan ingatan, malah pengajaran kepada yang sudah melupakannya.
Novel ini mengisahkan tirai hidup pelbagai latar belakang; ada perjalanan hidup yang mengakui dirinya Yahudi totok. Ada wanita atheis yang pernah menganut pelbagai agama, juga kisah wanita Kristian yang sangat berketrampilan dan terpelajar. Dan pengaruh terbesar di dalam novel ini; perjalanan Ayyas, muslim Indonesia yang gigih menggali sejarah bertapaknya Islam di tanah yang hebat jenayah dengan cabaran sosialnya paling besar. Anak muda yang mengharung dugaan yang bukan kecil dari persekitarannya, bahkan hampir-hampir menjatuhkannya.
Kisah yang disalut dengan cukup menarik, tentang perdebatan dan keyakinan teguh soal agama yang dianut. Latar seputar Rusia yang diolah dengan sangat lengkap. Segala yang diceritakan ditulis sehingga kita sendiri boleh membayangkan keadaan dan suasana dengan sangat terperinci. Itu menariknya novel ini mungkin. Bukan sekadar cerita yang dihebah-hebahkan hebat dengan layar cinta di ruang pengap.
Membaca Bumi Cinta seperti membawa saya kembali menelusuri kisah Maria di dalam novel. Novel Maria yang ditulis oleh penulis Turki. Emine Senlikoglu, penulis terkenal dengan hasilnya yang berani dalam Weil China. Saya menyusuri perjalanan hidup Maria di dalam novel yang dipinjam daripada seorang kawan seuniversiti dulu. Maria mungkin novel yang sudah lama dibaca tetapi intinya sarat dengan perdebatan fahaman agama. Mungkin Bumi Cinta juga terisi dengan perkara sedemikian dengan bukan kisah cinta sahaja yang menjadi plot utama.
Untuk mengenali hasil fikiran Emine Senlikoglu, anda bacalah Weil China.
Itu hanya saranan. Hak anda untuk menentukan apa yang anda baca. Selagi tidak melepasi sempadan yang sepatutnya dan ditegah agama, anda ada hak untuk membaca. Membaca sesuatu yang terpilih. ‘Terpilih’. Anda yang tentukan sendiri.
Saya suka menyusuri tulisan-tulisan yang kaya kosa kata, diselitkan dalam perjalanan cerita yang berisi untuk tatapan. Itu pilihan saya. Membaca novel Inggeris rajin pula kita mencari kamus untuk menggeledah makna, tetapi tidak berusaha pula untuk menambahkan pengetahuan dan memperkayakan perbendaharaan kata bahasa sendiri. Tidak mahu melebarkan betapa bahasa kita punyai kata yang kaya dan luas bahkan menyekat kemajuan diri dalam bahasa sendiri. Sudahlah itu, menyekat pula kemaraan orang lain dalam berbahasa. Betapa ruginya kita.
Moga kita dijauhkan daripada menjadi seorang yang mahu menyebar ilmu, tetapi dalam masa yang sama menyekat peluasan bahasa sendiri yang layaknya untuk diteroka.



0 comments:
Post a Comment