Saya beli buku itu hampir 7 tahun yang lalu. Di kedai buku Mahasiswa USM. Saya belek-belek tarikh yang pernah saya tulis; 17 Januari 2005. Merintis Jalan ke Antartika. Catatan perjalanan seorang tokoh gigih yang tinggi tekadnya; mahu menggapai impian ke Antartika. Meneruskan perjalanan melebar ilmu Biologi di benua yang terpencil. Paling tandus. Paling sejuk. Tidak berpenghuni.
Ini bukan kisah rekaan. Bukan imaginasi dan omongan angan-angan. Ini kisah benar cerita kembara menjelajah ilmu oleh Profesor Dr. Mashhor Mansor. Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, tempat saya belajar dulu.
Satu catatan peribadi dengan terma saintifik yang minor tetapi sarat ilmu. Ada cerita pertemuannya dengan saintis-saintis Jerman, Australia, New Zealand dan Argentina. Juga kisah impian yang terhalang; teman seperjalanan Profesor yang menemui maut dalam perjalanan, dengan cita-cita menggunung tinggi mahu meluaskan ilmu yang diperoleh di Antartika. Justeru; Profesor Dr. Mashhor dan saintis lain mengorak jalan ke benua tandus itu dengan turut membawa semangat Omar Pozan, saintis yang jalannya terhenti di pertengahan jalan.
Itu mungkin antara kisah yang berjaya diraih orang yang semangatnya ke depan. Sayapnya dikuak dan dilayang tinggi-tinggi. Bukanlah jalan senang untuk sampai ke tahap itu. Ilmu yang dianugerahi Allah itu luas; digapainya dengan pengorbanan yang bukan calang-calang. Dengan jalan yang dipilihnya sendiri. Dengan impiannya sendiri. Dengan dipermudahkan Allah, tentunya.
Semalam; ditayangkan semula Children Of Heaven, saluran Al-Hijrah. Sudah banyak kali saya menonton filem ini. Di zaman universiti dulu-dulu. Kisah yang diarahkan Majid-Majidi, pengarah filem Iran tersohor. Satu lagi filemnya yang paling saya ingat; Colour Of Paradise. Tetapi filem itu kurang diperluaskan berbanding Children Of Heaven. Bagi saya, ia setanding dan baik kualitinya; sama dengan Children Of Heaven. Kisah anak buta yang menjentik sebak dengan pendedahan dan cara yang agak berbeza. Agak terkilan; saya tidak berpeluang untuk menghayati The White Balloon; juga satu kisah seputar Iran.
Sebagaimana baik kisah-kisah Iran yang ditonjolkan, tidak ada pelakon-pelakon wanitanya mendedah aurat. Tetapi filem-filemnya melayakkannya mendapat pelbagai anugerah; dengan caranya yang asli dan polos. Mungkin itu juga yang diketengahkan filem Ketika Cinta bertasbih; pelakonnya dicari menerusi uji bakat supaya menjiwai nilai-nilai indah Islam berdasarkan novelnya yang asli.
Antara kisah-kisah lain; tulisan Khaled Hosseini juga amat berjaya menyentuh lubuk hati saya; seperti mana Paulo Coelho. Khaled tidak menulis banyak. Hanya dua buah novel. The Kite Runner. A Thousand Splendid Suns. Tetapi novel pertama yang dibuahkannya saja sudah mampu menggegar pembaca-pembaca yang membaca sehingga diterjemah dalam pelbagai bahasa dan dibaca di serata dunia. Tulisannya bukan seperti dibuat-buat, sepertinya tidak meniru-niru, asli, ceritanya mengalir dengan cara yang sangat memikat pembaca. Sungguh saya boleh katakan doktor perubatan ini sangat berbakat. Cuma bila The Kite Runner difilemkan, saya tidak nampak ia boleh menandingi novelnya. Mungkin jauh untuk sampai ke hati saya.
Juga A Thousand Splendid Suns yang punyai cerita Mariam; yang memaparkan gelombang hidup yang mencengkam; yang satu keputusan telah merubah keseluruhan hidup Mariam. Yang Mariam, wanita Afghan berselubung burqa akhirnya menderita dengan pengharapan berjejeran diragut dengan hanya satu keputusan. Sangat parah. Really a must read!
Mungkin juga cerita-cerita Taliban itu agak berlebih. Mungkin juga. Khaled Hosseini, seorang rakyat Afghanistan yang melihat sendiri tanahnya bergolak, yang kemudiannya berhijrah ke Amerika dan mendapat penghidupan baru, bagaimanakah pandangannya berdasarkan pengalamannya? Tetapi di sudut lain, tulisannya amat berbisa.
Sesekali, perlu juga kita membuka mata dan menjarah kehidupan yang kontradik dengan rutin kita. Masih terkenang di hati saya pengalaman yang mungkin tidak mahal, ceritanya tidak besar untuk anda, tetapi dalam di hati saya. Cerita saya. Pengalaman saya. Anda boleh baca di sini. Juga di sini . Lama dulu.
Cerita dulu dengan kisah sekarang kadang-kadang berkait. Sebagaimana kisah Antartika dan Australia yang satu ketika dulu pernah bercantum. Terikat.
*Padang Bulan dan Cinta Di Dalam Gelas tulisan Andrea Hirata sudah saya tempah. Mahu cari The Girls Of Riyadh dan Three Cups Of Tea bila tidak sibuk. Sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Selamat berbudi rakan-rakan guru!




0 comments:
Post a Comment