Tuesday, November 29, 2011

Kembara Si Pengembala

Tuesday, November 29, 2011

Saya pernah memiliki novel
The Alchemist sekitar tahun 2005. Menjadikannya sebagai hadiah kepada anak sepupu, lalu saya tinggalkan novel itu tanpa pernah mengetahui ceritanya punyai pengaruh besar kepada orang-orang yang pernah membacanya. Dan kini, ceritanya telah disebarluas lewat penterjemahan dalam 66 bahasa dan terjual di beratus-ratus buah negara.

2011, saya kembali mendapatkan apa yang telah saya ciciri dulu.

The Alchemist menyambut saya hambar pada awalnya, sepucat wajah petang di musim tengkujuh dengan jajaran pokok-pokok yang hampir tidak berbuah lagi. Tetapi lembar demi lembar, pengalaman Santiago budak pengembala menghangatkan hati saya sedikit demi sedikit dengan cerita jalan jauhnya yang sentiasa bergulir; naik dan turun. Semangat mengejar apa yang dimimpi memberinya peluang menemui pelbagai jenis orang di tanah Andalusia, berusaha sehabis upaya menggadaikan ‘hartanya’ meskipun biri-biri itu yang telah menemani hidupnya bertahun-tahun lamanya. Dia meninggalkan Sepanyol menuju ke Mesir menjejaki piramid yang dipercayai tempat hartanya tersembunyi, yang sungguh-sungguh mahu dimilikinya.

Santiago dipertemukan dengan wanita Gipsi yang bijak. Dia bertemu raja yang kaya nasihat dan salah satu nasihat terakhirnya menyumbang banyak dalam perjalanan anak Sepanyol ini mencari apa yang dikejarnya. Dia berjalan lagi merentas dunia sehingga menemui peniaga kristal dan bekerja sebagai pembantu untuk menyara hidup demi meneruskan perjalanan. Santiago berusaha dengan motivasi dan percaya pada satu; peniaga kristal dengan mimpi untuk mengerjakan haji di Mekah, dan dia dengan mimpi menemui harta yang telah lama diimpikannya. Sehinggalah kemudian dia bertemu dengan Fatima di padang pasir, wanita Islam yang percaya pada ‘maktub’ dan percaya untuk memegang mimpi-mimpi; Santiago perlu pergi dan mencuba.

Dia melalui pengalaman-pengalaman fizikal. Dia menemui pengalaman spiritual dan motivasi jiwa di dalam perjalanannya; yang jauh lebih mahal daripada pengalaman fizikalnya. Dia melalui pengalaman paling berharga bertemu ahli kimia yang memandu dan menjadi guru terhebat di dalam perjalanan terakhirnya.

Dan kemuncak pencariannya yang jauh akhirnya mendesaknya pulang ke tempat asal perjalanannya. Tempat terawal dia mengembara. Dia tersedar setelah menghadapi pelbagai pengalaman yang bersifat hitam dan bersiri putih. Harta yang dicari, rupa-rupanya hanya beberapa langkah sahaja di depan muka pintunya!

Dan mungkin jika awal-awal dia sudah tersedar harta yang dicari tidak jauh darinya, dia tidak akan jauh berjalan. Dan jika dia tidak jauh berjalan; dia tidak akan memperoleh 'harta' yang lebih penting; pengalaman dan pengisian jiwa.

Mungkin novel ini mengingatkan saya kepada Black Mamba Boy. Yang membezakannya; Santiago di dalam Alchemist berusaha mencari sesuatu yang belum pernah dijumpai dan belum pernah sekalipun dimiliki manakala anak Somali di tanah Aden di dalam Black Mamba Boy mencari sesuatu yang pernah hilang di sebalik cerita benar.

Pun; kedua-duanya menggalang misi tersendiri di dalam sebuah perjalanan.

Cuma di sisi tampang yang lain di dalam hidup kita, dengan meningkatnya jatah umur, biarpun perjalanan tidak sama, sekalipun di dalamnya tidak ada kisah-kisah besar dan heroik di pandangan orang; moga-moga kita belajar yang hal-hal 'kecil' yang dipandang remeh dan bodoh, adakalanya sangat memberi impak yang besar dalam perubahan hidup kita, juga perjalanan hidup orang lain.

Mahu melakukan yang besar; mulakan perubahan dengan perkara-perkara kecil.

Saya tertarik dengan kata-kata di dalam novel The Alchemist;

Everyone seems to have a clear idea of how other people should lead their lives, but none about his or her own.


Jangan meremehkan apa saja hal-hal di sekeliling kita.


0 comments:

Post a Comment

 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket