Friday, April 15, 2011

Rahsia Allah

Friday, April 15, 2011

Membongkar Perancangan Israel Raya. Cinta Di Langit Gaza. Kaum-kaum Yang Pupus. Tiga buah buku yang dibeli di pesta buku anjuran sekolah. Saya capai lagi buku Bumi Cinta ketika bawa pelajar ke Pesta Buku di Kota Bharu beberapa minggu dulu. Kesemuanya belum dibaca. Kekangan masa mendesak memenuhi kerja-kerja yang lebih penting. Tuntutan tugas mengajar kita berusaha bertanggungjawab memenuhi tanggungjawab. Walau kadang-kadang terpesong juga tindakan dan keluh melumuri lidah atas perjalanan hidup yang tidak terus dan tidak seperti diimpi.

Dalam cerita mencari rezeki dan meneruskan perjalanan peribadi, kerap kita menyemat semangat yang utuh. Bergerak terus dan berdoa tidak mudah jatuh. Acapkali melelar dalam diri cita-cita perlu dikejar. Tapi jatuh juga sesekali. Pudar juga cita-cita yang hendak dikejar. Punah juga semangat yang dilayang tinggi-tinggi. Saya manusia lemah barangkali. Perlu disiram motivasi yang menginspirasi. Perlu belajar mengejar impian dan berusaha keras meneladani orang-orang yang patut dicontohi.

Dalam hidup dan matinya nanti, banyak yang kita kejar. Cuma cara mengejar dan jalan untuk sampainya berbagai susur dan lorong. Kadang-kadang tersekat-sekat. Kadang-kadang licin dan nampak lurus. Takdir itu terselindung. Ada keras cubaannya. Ada nikmat dugaannya.

Kerana takdir itu ghaib, di luar jangkauan dan jangkaan kita, maka yang sudah berumahtangga, yang sudah punya pekerjaan besar dan dibangga-bangga, sudah memiliki anak yang comel-comel, sudah membeli rumah besar, punyai kereta besar, melabur pada tanah yg berekar-ekar, taraf pendidikan tinggi-tinggi, jangan melaung-laung yang kita sudah bahagia. Rintangan yang disedia Tuhan di depan di luar kuasa kita. Moga-moga dijauhi riak dan taksub dengan kehidupan sendiri yang dirasakan lebih baik berbanding orang lain.

Soal jodoh juga sering dijadi buah mulut bila tiba usia dianggap semakin tua. Fahamilah, kekangan dan halangan datang dengan berbagai rupa. Fahami hati orang dan letakkan diri di kasutnya sesekali. Keadaan orang yang mendepani sesuatu keadaan sukar sebenarnya untuk cuba kita selami.

Dan bila sampai saatnya nanti bila Tuhan berkehendak, kita akan ketemu dengan orang yang sesuai, dengan cara yang sesuai, di tempat yang sesuai. Juga pada masa yang sesuai. Nasib orang tidak sama. Dugaan di depan nantinya tidak akan sama. Jika pula Tuhan berkehendakkan tidak sampai jodohnya, maka kita lalui dgn cara kita untuk membahagiakan diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita.

Kalau anda sudi dan punyai masa, bacalah cerita yang pernah saya tulis berdasarkan cerita benar di sini. Kisah lelaki yang terpaksa melepaskan yang pertama dengan menanggung malu dan penghinaan. Kerana takdir, dia akhirnya bertemu yang kedua yang jauh lebih baik dan sesuai untuknya. Sekalipun kita belum mampu untuk menjadi apa yang kita baca, belajarlah bertoleransi dan terbuka dengan segenap perjalanan hidup orang, hidup kita sendiri lebih-lebih lagi.


0 comments:

Post a Comment

 
...Jalan Itu Jauh... © 2008. Design by Pocket